Soalan lazim yang popular ditanya umum terutama pada bulan Ramadhan
Soalan 1: Bolehkah kita batalkan puasa di bulan Ramadhan dengan makan minum terlebih dahulu semata-mata nak elak kafarah supaya boleh bersetubuh?
Persoalan ini dijawab oleh Ustazah Asma' Harun mari ikuti ulasan penuh:
Pertama sekali:
Apa makna Kafarah, dari segi bahasa adalah menutup. Dari segi istilah pula adalah perbuatan menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggungjawab atau kewajipan hukum syarak.
Kafarah terdapat beberapa jenis iaitu Kafarah Sumpah, Kafarah Nazar dan lain-lain lagi.
Tetapi kali ni kita fokus kepada kafarah bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan jika suami isteri melakukan ia, wajib atas suami bayar kafarah bebaskan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut, atau beri makan 60 orang miskin. Si isteri hanya wajib gantikan puasa tersebut. Kafarah hanyalah atas suami kerana bersetubuh merujuk kepada lelaki, seperti suami wajib membayar mahar ke atas isterinya, begitu juga suami wajib ke atasnya membayar kafarah.
Ok, pertama sekali kalau kita sengaja membatalkan puasa atau sengaja buka puasa itu adalah perkara dosa besar dan adalah haram, itu adalah asasnya.
Dari Abu Hurairah Nabi SAW bersabda "Sesiapa yang berbuka puasa di siang hari pada bulan Ramadhan tanpa sebarang rukhsah (keringanan) yang diizinkan Allah, tidak memadai sekalipun qada puasa itu selama-lamanya.
Dari Imam Ibnu Hajar Al-Haithami juga menyebut betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja pada bulan Ramadhan. Perlu bertaubat dan meminta ampun.
Dalam Kitab Minhaji juga menulis jika tiada sebarang keuzuran, mahupun dia bukan seorang bermusafir, adalah perkara dosa besar sengaja meninggalkan puasa terutama di bulan Ramadhan, kerana puasa di bulan Ramadhan dia adalah satu rukun Islam dan perkara fardhu jika meninggalkannya akan menjadi kafir dan wajib segera bertaubat sebagaimana orang murtad.
Lanjut lagi dari Ustazah Asma' Harun, mari kita rungkai persoalan yang utama ditujukan, boleh ke nak elak dari kafarah, batalkan puasa di bulan Ramadhan dengan makan minum bertujuan nak berjimak?
1) Pendapat pertama Imam Mazhab Shafie
Tidak dikenakan kafarah.
Pendapat ini adalah pendapat masyhur dalam kalangan kita, dari Kitab al-Fiqh al-Islamiwa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili menyatakan jika sengaja berbuka dengan makan minum selepas itu melakukan jimak tiada sebarang kafarah kepadanya.
Sebaliknya dia wajib menqada puasanya nanti. Segera bertaubat dan meminta ampun kepada Allah swt.
Terdapat enam situasi sebenarnya yang tidak dikenakan kafarah:
1) Terlupa yang dia sedang berpuasa dan melakukan jimak
2) Jahil tentang pengharamannya kemudian dia melakukan jimak
3) Batalkan puasa kerana dia dalam keadaan uzur
4) Batalkan puasa dengan makan minum kemudian melakukan jimak
5) Bermusafir kemudian melakukan jimak
6) Batalkan puasa bukan di bulan Ramadhan
Namun Imam al-Baijuri dalam Kitab Hasyiah menyatakan:
Jika berbuka puasa dengan sengaja dengan makan minum terlebih dahulu kemudian berjimak ia tetap perkara dosa besar, namun ia hanyalah helah untuk mengelak kafarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya. Dosa wajib taubat dan minta ampun kepada Allah swt.
2) Pendapat kedua: Wajib dikenakan kafarah
Mazhab hanafi, Mazhab Maliki, dan juga Mazhab Hanbali wajib juga dikenakan kafarah walaupun batalkan puasa dengan makan minum terlebih dahulu kemudian berjimak.
Imam Ibnu Qayyim berpendapat perlulah melihat tujuan asal dan maqasidnya ia adalah satu helah daripada dikenakan kafarah, kerana melakukan helah untuk melakukan jimak tidak menggugurkan kewajiban membayar kafarah kerana melihat tujuan asalnya.
Kafarah seorang suami adalah berpuasa dua bulan berturut-turut, atau bebaskan hamba, atau beri makan pada 60 orang miskin.
Baca juga: Apa hukum suami isteri bermanja-manja pada siang hari Ramadhan? Ini penjelasannya - Dai Syafiqah
Selain itu orang telah membatalkan puasa perlu imsak (menahan diri) atau tidak?
1) Pendapat pertama: perlu imsak
Kerana ada dalil "dihalalkan bercampur gaul atau bersetubuh bersama isteri di malam hari pada bulan Ramadhan. Daripada dalil ini terbitlah pengharaman bersetubuh bersama isteri di siang hari pada bulan Ramadhan.
Jadi perlu imsak (menahan diri) walaupun sudah berbuka puasa kerana menjaga kesucian bulan Ramadhan.
2) Pendapat kedua: Tidak perlu imsak
Pendapat ini berpegang kepada tidak perlu imsak (menahan diri) dari melakukan persetubuhan walaupun puasanya sudah batal. Hal ini kerana perbuatan itu tidak beri kesan kerana puasanya telah batal.
Walaubagaimanapun, seseorang itu tetaplah perlu jaga diri di depan khalayak ramai pada bulan Ramadhan termasuklan makan minum.
Kesimpulannya adalah, Mazhab Shafie tidak perlu Kafarah jika batalkan puasa dengan makan minum terlebih dahulu kemudian berjimak.
Manakala satu lagi pendapat wajib kafarah jika batalkan puasa dengan makan minum terlebih dahulu semata-mata hendak berjimak.
Dan orang yang telah berbuka puasa sekalipun perlu imsak (menahan diri) dari melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan sebagaimana orang yang berpuasa sehinggalah masuk waktu azan maghrib kerana menjaga kesucian bulan Ramadhan.
Dan berdosa besarlah sesiapa yang sengaja berbuka puasa tanpa keizinan Allah yang diberi rukhsah (keringanan).
Semoga bermanfaat.
Like & follow FACEBOOK
0 Comments