Tempoh hari berlaku sedikit tamparan hebat antara ilmuwan di negara, sedangkan lidah lagi tergigit apatah lagi sifat manusia yang perlu akur dengan kelemahan.
Di sini bukanlah untuk menunjukkan siapa benar siapa salah dan perlu minta maaf, akan tetapi setiap kata-kata perlu dalil sebab musabab berlandaskan nas quran dan sunnah Rasulullah.
Terdapat perkongsian Dr Khalif Muammar di Facebooknya tentang kekeliruan Dr Harlina dalam sifat kepimpinan lelaki dan kesetaraan gender.
Tulisan Dr. Harlina seperti dilampirkan mengandungi beberapa kekeliruan yang memberi kesan besar terhadap kefahaman Islam masyarakat. Ia mengandungi pentafsiran semula dan perombakan terhadap konsep kepimpinan lelaki yang terdapat dalam hukum Islam dan mempromosikan idea kesetaraan gender yang bertentangan dengan Islam.
1. Kepimpinan lelaki dalam keluarga adalah hukum agama yang jelas dan tiada khilaf di kalangan para ulama’. Hanya golongan modenis dan liberal di kalangan orang Islam yang berbeza pandangan disebabkan pengaruh idea kesetaraan gender yang dicanangkan di Barat. Para ulama’ merujuk kepada ayat 34 surah al-Nisa’ (“Lelaki adalah pemimpin (qawwamun) ke atas kaum wanita”). Ibn Kathir dan tafsirnya sebagai contoh berkata bahawa “lelaki adalah penanggungjawab (qayyim) ke atas perempuan yakni pemimpin dan ketua”. Al-Baydawi pula mengatakan: “lelaki mentadbir urusan perempuan sepertimana penguasa mentadbir rakyatnya”. Terdapat beberapa hadith yang mengesahkan pandangan para ulama’ ini seperti hadith: “Jika aku memerintahkan seseorang sujud kepada seorang yang lain niscaya aku perintahkan isteri supaya bersujud kepada suaminya” (Ibn Majah). Sila rujuk antara lain ‘Atiyyah Saqar, Huquq al-Zawjiyyah (2003); Wahbah al-Zuhayli, al-Usrah al-Muslimah (2000).
2. Dengan adanya dalil khusus seperti di atas maka dalil umum bahawa setiap manusia adalah pemimpin tidak boleh digunapakai dalam konteks yang khusus. Kedua-dua dalil perlu digunakan pada tempatnya masing-masing, tidak boleh dipertentangkan. Pengharmonian dalil-dalil perlu dilakukan ketika beberapa dalil dilihat seolah-olah bercanggah antara satu sama lain. Sebenarnya dalil-dalil ini tidak bercanggah, hanya sahaja mungkin kefahaman kita tidak cukup untuk meletakkan masing-masing dalil pada tempat dan konteksnya.
3. Idea kesetaraan gender di Barat jelas membawa kepada fahaman bahawa lelaki dan wanita adalah setara atau sama rata (equal), yang bermaksud bahawa satu gender tidak boleh diletakkan lebih tinggi, diberi kelainan berbanding gender lain, seperti menjadi pemimpin dalam rumah tangga, menjadi imam solat, menerima harta waris yang lebih banyak dsb. Sebaliknya kedua-dua mereka, lelaki dan wanita adalah pemimpin, atau tidak ada yang memimpin dan tidak ada yang dipimpin. Sebuah bahtera akan tenggelam apabila ada dua nakhoda, juga apabila tidak ada nakhoda sama sekali. Jelas fahaman ini akan membawa kepada keruntuhan institusi rumah tangga. Kita tidak boleh menerima idea ini lalu memberikan makna kita sendiri yang berlainan dari apa yang dimaksudkan oleh pencanang idea tersebut. Dengan kata lain, seorang Muslim tidak sepatutnya menerima idea kesetaraan gender kerana konsep kesetaraan gender itu bertentangan dengan hukum Islam. Untuk perbahasan yang lebih mendalam tentang kesetaraan gender dan hubungannya dengan feminisme Barat sila rujuk makalah saya bertajuk Konsep Kesetaraan Gender Menurut Perspektif Islam dan Barat dalam jurnal Afkar UM: https://ejournal.um.edu.my/index.php/afkar/article/view/21508
4. Islam menawarkan alternatif yang lebih baik daripada kesetaraan gender (gender equality) iaitu konsep keadilan. Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar. Lelaki ada tempatnya yang sesuai dengan fitrahnya iaitu menjadi pemimpin keluarga. Perempuan ada tempatnya yang sesuai dengan fitrahnya iaitu menjadi pengurus rumah tangga. Lelaki perlu memainkan peranan sebagai pemimpin dan wanita perlu memainkan peranan sebagai pengikut yang baik. Pengikut yang baik adalah yang taat kepada pemimpin ketika ia benar, dan mampu menegur pemimpin dengan hikmah ketika ia melakukan kesilapan. Ketaatan kepada pemimpin adalah wajib selama ianya sesuai dengan kehendak syara’. Baik yang memimpin mahupun yang dipimpin tidak lebih baik di sisi Allah, dan tidak dijamin syurga. Apa yang penting setiap pihak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya, agar keadilan tercapai. Masing-masing pihak tidak menzalimi yang lain kerana semuanya akan diperhitungkan di akhirat. Kesejahteraan dan keberhasilan rumah tangga bergantung kepada kedua-dua pihak menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan saling berkerjasama. Ini bermakna persoalan asasi yang perlu difikirkan dan diusahakan adalah bagaimana memastikan lelaki-lelaki yang berkahwin mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga yang adil dan baik. Dan wanita mampu menjadi pengurus sekaligus menjadi pengikut yang baik. Idea kesetaraan gender yang dicanangkan di Barat hanya menimbulkan lebih banyak masalah, dan tidak sama sekali membantu mengatasi isu keruntuhan institusi keluarga.
Maka tidak sewajarnya wujud kecenderungan sebahagian orang Islam yang lebih gemar mengikut idea asing yang bertentangan dengan Islam daripada idea yang lebih baik yang diketengahkan oleh Islam sendiri.
Semoga ilmuwan negara berada dalam lindungan rahmat Allah dan sentiasa berbakti kepada umah.
0 Comments