Siapa yang tidak mengenali Seniman agung Malaya P.Ramlee. Walaupun 48 tahun telah meninggalkan kita, karya seninya sama ada lagu atau filem sentiasa menjadi bualan mulut rakyat Malaysia. Malahan rakyat luar negara juga gemar menonton filem P.Ramlee yang tidak pernah lapuk dek zaman.
Tahukah anda? Sebelum beliau meninggal, sebuah filem yang dikatakan dekat dengan hidupnya tidak sempat diterbitkan.
Dalam jam 9.00 malam, P.Ramlee duduk termenung di satu sudut di rumahnya sambil memetik bibir meja seolah-olah berfikir sesuatu. Tiba-tiba beliau bangun terus menuju ke telefon lalu mendail nombor telefon seseorang.
"Boleh kita jumpa malam ini di Shah Motel, kerana saya ingin berbincang dengan saudara mengenai skrip filem Azizah yang saudara tulis itu".
Disebabkan ada perkara yang lebih penting, individu itu tidak dapat bertemu P.Ramlee pada malam itu dan meminta untuk bertemu dengan P.Ramlee pada keesokkan harinya dan P.Ramlee juga bersetuju. Sebelum mengakhiri perbualan sempat P. Ramlee menyanyikan lagu Azizah buat temannya itu.
Azizah merupakan lagu pertama yang dicipta oleh P.Ramlee sejak di Pulau Pinang. Lagu itu sangat dekat dengan sejarah hidup P.Ramlee, maka dengan itu P.Ramlee bercadang untuk meriwayatkan lagu Azizah di layar perak.
Pada waktu subuh dalam jam 5.30 pagi, sekali lagi telefon rumah teman P.Ramlee berdering. Kali ini bukan panggilan dari P.Ramlee tetapi Saloma yang memaklumkan bahawa P.Ramlee telah meninggal dunia.
"Encik Osman, abang Ramlee sudah tiada!".
Apabila mendengar sahaja perkhabaran itu, beliau terus jadi bingung seolah-olah tidak percaya kerana malam semalam baharu beliau bercakap dengan P.Ramlee melalui telefon.
Begitulah catatan dari Osman Abadi atau nama sebenarnya Osman Mahmud Baginda, bekas Ketua Pengarang Kumpulan (Majalah) Utusan Melayu. Osman Abadi pernah terlibat dalam dua buah filem arahan P.Ramlee sebelum ini iaitu Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang sebagai penulis cerita dan skrip.
Siapa sangka pada 28 May 1973 merupakan hari terakhir beliau di dunia ini. Doakan untuk seniman agung kita -Al-fatihah-
Sumber :Catatan Osman Abadi, Utusan Malaysia, 30 Mei 1973, Repair Gambar Lama
0 Comments