Penunggang basikal maut rupanya ibu tunggal, buat macam-macam kerja untuk sara dua anak
Kemalangan maut membabitkan seorang penunggang basikal wanita di Putrajaya pagi tadi amat menyayat hati dan meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga serta rakan terdekat mangsa.
Menerusi beberapa posting di Facebook, dapat dilihat Allahyarham Hanin Abdul Hamid, 35, merupakan seorang insan yang disenangi dan disayangi ramai.
Difahamkan, arwah yang bekerja sebagai sebagai ejen takaful memiliki perwatakan yang baik, kelakar dan sentiasa ceria setiap hari.
Menurut salah seorang rakannya Fatimah Kassim, arwah Hanin merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.
Malah, selain menjadi ejen takaful, arwah turut melakukan pelbagai kerja sampingan demi membesarkan anak-anaknya dan menjaga seorang ibu yang uzur.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Siti Fazlina Zainal Abidin telah memuat naik mesej terakhir yang dihantar Hanin kepadanya yang mana arwah meluahkan rasa rindu untuk bertemu dengannya.
“Ya Allah Ya Tuhanku, rupanya mesej semalam dari sis meluah kerinduan buat akak adalah mesej terakhir buat kita berdua,” katanya.
Tambahnya lagi, memori suka dan duka selama mengenali Allahyarham akan dijadikan kenangan terindah dalam hidupnya.
Takziah diucapkan buat Allahyarham Hanin. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi, seorang wanita maut apabila basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dari arah belakang di atas jambatan berdekatan Kelab Tasik Putrajaya.
Saksi kejadian, Mohd Shukri@Budiman Hassan, 43, berkata, ketika kejadian itu berlaku, kenderaannya berada di belakang lori terbabit yang dibawa perlahan.
“Tiba-Tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.
“Bila saya turun, rupanya objek yang saya mulanya sangka terjatuh itu adalah basikal,” katanya.
Mohd Shukri berkata, beliau kemudian mendekati mangsa serta memeriksa nadinya dan mendapati nadi wanita itu amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Beliau berkata, mayat mangsa yang berusia 34 tahun itu telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
0 Comments