Setelah menunggu selama 14 tahun dalam bilik akhir (death cell) sebelum digantung sampai mati, banduan ini telah disahkan menjadi tidak siuman dan gila.
Peristiwa ini terjadi pada seorang banduan yang didakwa atas kesalahan membunuh mangsa di kedai salon di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada februari 1997 di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.
Dalam kes bunuh tersebut, 3 orang mangsa mati ditikam banduan tersebut di bahagian kepala dan leher menggunakan parang.
Hukuman gantung sampai mati diberikan Mahkamah Tinggi pada Jun 2000, banduan ini menunggu untuk digantung dalam bilik akhir di Penjara Kajang.
Rayuan banduan atas hukuman gantung yang dikenakan telah ditolak Mahkamah Rayuan pada Mei 2003 dan ditolak Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2008. Ini bermaksud hukuman gantung sampai mati dikekalkan.
Banduan ini cuba mendapatkan pengampunan dari Lembaga Pengampunan untuk mengenepikan hukuman gantung tetapi ditolak pada November 2013. Ini bermaksud nasib banduan mungkin berakhir di tali gantung.
Tarikh 14 Mac 2014 kemudiannya ditetapkan sebagai tarikh banduan digantung, banduan ini hanya menunggu hari untuk dihukum gantung.
Tanpa alasan yang didedahkan, hukuman gantung tersebut tidak dapat dilaksanakan dan ini memaksa banduan tersebut meringkuk lagi dalam bilik akhir Penjara Kajang.
Bilik akhir adalah bilik yang menempatkan banduan sebelum banduan digantung sampai mati. Suspek ditempatkan di bilik akhir bermula Jun 2000.
Tarikh Jun 2000 hingga Mac 2014 menunjukkan banduan ini menunggu hampir 14 tahun, dalam tempoh masa tersebut banduan ini telah mengalami masalah mental dan kesihatan yang serius.
Laporan kesihatan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan banduan ini mengalami masalah mental "schizophrenia".
Banduan ini menjadi gila kerana terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang lama dalam bilik akhir.
Schizophrenia - adalah satu penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan berterusan pada penerimaan (perception) seseorang pada gambaran alam sebenar (reality) kerana mengalami delusi atau halusinasi pendengaran.
Peguam dilantik mewakili banduan tersebut bagi menyaman Ketua Pengarah Penjara Kajang yang dipersalahkan kerana menyebabkan banduan menjadi gila.
Peguam banduan tersebut berhujah tempoh terlalu lama menunggu sebelum hukuman gantung dibuat adalah salah, tidak berperikemanusiaan dan kejam.
Kelewatan dalam menjalankan hukuman mati sehingga menjejaskan kesihatan mental banduan dianggap melanggar kebebasan diri dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam kanan persekutuan iaitu Jabatan Peguam Negara yang mewakili Ketua Pengarah Penjara berhujah Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan hukuman gantung dikenakan pada banduan dan ini bermakna banduan tidak boleh dilepaskan dan dibebaskan.
Isu yang menjadi perdebatan ini berterusan hingga ke Mahkamah Rayuan Putrajaya. Panel hakim perlu memutuskan sama ada boleh atau tidak hukuman gantung sampai mati dikenakan pada banduan gila?
Pada November 2016, Panel hakim Mahkamah Rayuan YAA Abang Iskandar, Varghese George dan Nallini Pathmanathan memutuskan banduan tidak perlu digantung.
Panel hakim memutuskan hukuman gantung sampai mati tidak boleh dikenakan pada banduan yang gila.
Merujuk kepada keputusan kes mahkamah Agong di India Shatrughan Chauhan, dengan ini banduan masih lagi mempunyai hak untuk mengemukakan hak-hak walaupun banduan tersebut hanya menunggu hukuman gantung dilaksankan.
Mahkamah rayuan memutuskan banduan ini dilepaskan dari hukuman gantung dan diarahkan untuk dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Persoalan kenapa hukuman gantung ke atas banduan ini ditangguhkan terlalu lama masih menjadi misteri dan tidak terjawab sehingga ke hari ini.
Isu kelewatan melaksanakan hukuman gantung pernah dikeutarakan dalan kes Mona Fandey yang mana suspek dalam kes tersebut menunggu selama hampir 2 tahun bagi mendapatkan pengampunan dari Lembaga Pengampunan tetapi akhirnya ditolak dan hukuman gantung akhirnya tetap dilaksanakan.
Laporan kes ini boleh disemak di fail 2017/L/MLJ -472 Mahkamah Rayuan Putrajaya Michael Philip Spears Lwn Ketua Pengarah Penjara Kajang.
Sumber: Dari Fail Mahkamah
0 Comments