Alor Setar: Sabtu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan notis di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung di Langkawi.
Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPNDNHEP Kedah Mohd Shahran Mohd Arshad berkata notis itu perlu dijawab dalam masa lima hari iaitu sebelum hari khamis ini sebelum apa-apa tindakan akan diambil.
"Kita minta pemilik restoran menjawab notis itu berkenaan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ".
"Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran itu. Buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak, sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci sama ada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya," katanya.
Tular di media beberapa pengunjung menviral resit yang mencecah ribuan ringgit selepas makan di restoran tersebut.
Berdasarkan resit yang ditunjuk oleh seorang pengadu di laman sosial ikan siakap seberat 7.47 kg yang dipesan berjumlah RM1,196.80.
Dan jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan itu termasuk hidangan makanan dan minuman lain ialah RM1,759.50.
Setakat ini hanya satu aduan saja diterima berkaitan isu ikan siakap itu dan beliau meminta pengguna yang mengalami masalah yang sama terus membuat laporan di KPDNHEP.
"Sekarang kita sedang lancarkan Ops Menu, operasi ini bukan sahaja kita fokus kepada harga pada menu tetapi juga kepada alat timbangan sama ada alat itu masih sah atau tidak.
"Dalam masa sama kita minta aduan terus dilakukan kepada KPDNHEP untuk mudahkan penguatkuasa mendapatkan maklumat terperinci daripada pengguna itu sendiri.
"Sekiranya ditularkan dalam media sosial sahaja maka kita terpaksa mencari individu terbabit menerusi media sosial dan terpaksa menunggu jawapan daripadanya sebelum kita perolehi maklumat lanjut," katanya.
0 Comments