6 Disember 1990: Genap 31 Tahun Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Meninggal Dunia

6 Disember 1990: Genap 31 Tahun Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Meninggal Dunia

 


Hari ini 31 tahun yang lalu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggal dunia.

Pada jam 10.25 malam 6 Disember 1990, Tunku menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur di usia 87 tahun kerana komplikasi usus. Turut berada di sisi Tunku pada saat akhir itu adalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji diarah mengumumkan pemergian Tunku serta perjalanan upacara pengebumiannya. Jenazahnya dibawa pulang di kediamannya di Bukit Tunku malam itu sebelum ke Parlimen pada 7.40 pagi esoknya.

Di Parlimen, jenazah Tunku diletakkan di Dewan Bankuet untuk diberi penghormatan terakhir, sejam untuk orang ramai diikuti sejam lagi untuk VIP. Kemudian, ia dibawa berarak perlahan menyusuri Jalan Sultan Abdul Samad ke Jalan Raja.

Dari Jalan Raja, jenazah Tunku dibawa motorked menuju ke Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi. Setibanya di sana, beliau diusung melewati perbarisan kawalan kehormatan sebelum diterbangkan ke Alor Setar menaiki pesawat TUDM.

Ketibaannya di Alor Setar disambut oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Jenazah Tunku seterusnya dibawa ke Makam Diraja Langgar & selamat disemadikan di sana pada tengahari, sepertimana yang diwasiatkannya.

Pada hari itu juga, semua pejabat kerajaan & sekolah ditutup untuk menghormati pemergian Tunku & rakyat yang berkesempatan hadir mengiringi sepanjang perjalanan terakhir Bapa Kemerdekaan dari Parlimen hingga ke Makam Diraja Langgar.

Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah sebagai anak ke-7 daripada 45 orang zuriat Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Ibunya Che Menjalara, isteri ke-6 Sultan Abdul Hamid yang berketurunan pembesar Siam.

Daripada seorang pegawai perkhidmatan awam & pendakwaraya, Tunku memasuki arena politik & mengorak langkah membawa tanah air menuju kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 & menjadi sebuah negara bernama Malaysia pada 16 September 1963.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, NST, UMNO Online

Post a Comment

0 Comments