Pelakon Margaret Gan Peluk Islam. Suasana Jadi Sebak

Pelakon Margaret Gan Peluk Islam. Suasana Jadi Sebak

 


KUALA LUMPUR: Lebih separuh abad mengabdikan diri dalam dunia seni, pada usia 79 tahun, pelakon veteran Margaret Gan yang sering menghiasi kaca televisyen (TV) dalam drama menyentuh hati pada era 1980-an, beroleh hidayah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.


Pada 15 Februari lalu, dalam suasana penuh emosi, Margaret yang sudah biasa dengan kehidupan orang Melayu dan amalan umat Islam sejak zaman persekolahan, memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 36.


Mohd Taufik terlebih dahulu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika menuntut di universiti, kira-kira 20 tahun lalu.


Berkongsi cerita, Margaret yang manis berhijab mengaku Mohd Taufik tidak pernah mendesak agar mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.


"Sebenarnya, hati sudah lama terdetik memeluk Islam. Anak tidak pernah mendesak. Cuma sekali-sekala dia bertanya bila saya mahu peluk Islam.


"Minggu lalu, tiba-tiba saya terus bersetuju apabila dia bertanya lagi.


"Saya meminta dia menguruskan hal berkaitan pengislaman. Anak memang terkejut mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut saya hingga berkali-kali dia bertanya, apakah betul keputusan yang saya ambil.


"Taufik menangis terharu dengan keputusan ini (peluk Islam). Mungkin dia sudah lama menantikan saat cukup bermakna ini," katanya kepada BH Online pada majlis anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) di ibu negara, baru-baru ini.


Margaret berkata, Taufik mengajarnya melafazkan syahadah dan merakamkan video pada detik itu di kediaman mereka.


"Taufik kemudian menghantar rakaman video kepada seorang ustaz yang tidak sempat datang ke rumah kami.


"Insya-Allah, kami akan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) minggu depan untuk urusan selanjutnya," katanya.


Margaret yang dilahirkan di Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling, mengaku sudah biasa dengan amalan hidup orang Islam terutama sejak Taufik menjadi muslim.


Margaret pernah menghadiri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias sebelum memeluk Islam. - Foto Facebook Ustaz Kazim Elias

Margaret pernah menghadiri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias sebelum memeluk Islam. - Foto Facebook Ustaz Kazim Elias

Ketika anaknya menyuarakan hasrat memeluk Islam, Margaret tidak menghalang, sebaliknya, meminta dia memikirkan keputusan itu sebaik-baiknya.


Margaret menasihati Taufik agar tidak 'hangat-hangat tahi ayam' kerana menyedari ada ramai saudara-mara yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam sebaik-baiknya selepas melafazkan syahadah.


"Saya tidak halang. Saya minta Taufik jangan buat separuh jalan. Ada saudara-mara yang masih mengamalkan cara hidup lama walaupun sudah beragama Islam.


"Walaupun anak sudah memeluk Islam, kami tinggal bersama. Soal makan dan sebagainya tidak menjadi masalah kerana apa yang anak masak, itulah yang saya makan.


"Sehinggalah apabila anak berkahwin dan memiliki dua cahaya mata, kami terus tinggal sebumbung walaupun berbeza agama, sebelum ini.


"Saya juga sudah biasa melihat mereka bersolat dan mengamalkan gaya hidup Islam. Jadi, tidak sukar untuk saya melafazkan syahadah," katanya.


Berkongsi mengenai penampilan yang kini bertudung, pelakon filem 29 Februari itu berkata, Taufik menggalakkan agar dirinya berhijab.


"Taufik beritahu jika saya mahu berlakon, saya perlu bertudung. Jika tidak, dia tidak galakkan saya berlakon tanpa memakai hijab.


"Saya tiada masalah untuk bertudung kerana sudah biasa melihat menantu dan cucu berhijab.


"Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang. Lagipun, umur saya menginjak 80 tahun pada 2023. Jadi, tiada apa lagi yang perlu saya tunggu," katanya yang mengekalkan nama sama.


Nama sebenar, Gane Ee Kek dan memulakan karier lakonan secara tidak sengaja pada usia lewat 20-an apabila sebuah syarikat produksi mencari pelakon berbangsa Cina.


Drama pertama lakonan adalah Kemarau Di Hujung Daun sebagai pelakon tambahan. Ini disusuli Dengan Keringat Aku Ingat dengan peranan lebih besar. 


Kredit: BH

Post a Comment

0 Comments