"SAYA KEHILANGAN SAHABAT BAIK" - P.RAMLEE A.M.N
Begitulah kata-kata yang keluar dari mulut P.Ramlee A.M.N apabila mengulas mengenai pemergian seniman Nordin Ahmad ketika dihubungi wartawan pada pagi hari Rabu, 16 Jun 1971 di rumahnya.
Kematian Nordin Ahmad disifatkan sebagai satu kelihangan yang besar kepada dunia seni kerana Allahyarham adalah seorang seniman yang berperibadi mulia dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.
"Arwah seorang yang pendiam dan tidak meninggi diri. Saya mengenali arwah sejak awal tahun 1950-an lagi ketika kami bersama-sama bekerja di jalan Ampas. Beliau sangat tekun dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerjanya. Tidak pernah saya melihat arwah bekerja dengan sambil lewa. Kematian arwah semalam sangat memeranjatkan saya dan saya telah kehilangan seorang sahabat baik. Saya diberitahu tentang kematiannya melalui telefon oleh isterinya dari Singapura."
P.Ramlee turut menyatakan kepada wartawan mengenai peribadi Nordin Ahmad sepanjang mengenalinya. "Walaupun saya hanya beberapa tahun sahaja bergaul dengannya sebelum arwah berhijrah ke studio Cathay-Keris, tetapi boleh saya sifatkan Nordin Ahmad adalah seorang seniman yang sangat istimewa. Kami kerap berjumpa di luar dan saling bertukar-tukar fikiran mengenai kerjaya masing-masing. Saya tahu dan faham benar tentang sifat-sifatnya itu. Arwah Nordin Ahmad seorang seniman berlainan dari yang lain dan payah hendak jumpa seniman filem yang bersifat sepertinya", tegas P.Ramlee. I've lost a good friend. Dunia filem Melayu kehilangan seorang seniman besar. There will never be another Nordin Ahmad", kata P.Ramlee sambil menahan sebak.
Mengimbau kembali kenangannya bersama Nordin Ahmad, P.Ramlee menyatakan beliau telah memberi peranan utama kepada Nordin Ahmad di dalam filem kedua arahannya iaitu Semerah Padi pada tahun 1956. "Saya melihat hanya Nordin Ahmad sahaja yang mampu membawa peranan sebagai Taruna di dalam filem itu. Maka saya tanpa berfikir panjang terus menyerahkan watak itu kepadanya dan hasilnya beliau berjaya membawa dan membina watak berkenaan. Beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memajukan tahap lakonannya dan beliau juga seorang pelakon yang taat dan mendengar kata pengarah".
Begitulah sedikit perkongsian dari seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee apabila diminta mengulas mengenai pemergian sahabatnya Allahyarham Nordin Ahmad pada 15 Jun 1971. Selang dua tahun selepas itu P.Ramlee pula menyusul dijemput yang Maha Esa pada 29 Mei 1973. Kedua-duanya meninggal dunia pada hari selasa.
Al-Fatihah buat kedua-dua seniman besar ini.
Pandangan Datuk Rosyam Nor terhadap Nordin Ahmad
"KALAULAH NORDIN AHMAD MASIH ADA..."
4 September 2018, seawal jam 7 pagi saya mengatur langkah dari rumah untuk satu misi yang telah diatur bagi menemui seorang nama besar di dalam industri seni tanah air ketika ini. Sesampainya saya di tempat yang telah dijanjikan, saya telah disambut mesra oleh susuk tubuh yang selama ini menjadi impian saya untuk bertemu secara empat mata. Itulah dia Datuk Rosyam Nor, hero filem Melayu yang telah berkecimpung di dalam industri seni lebih dari 30 tahun.
Saya di bawa masuk ke dalam pejabatnya yang sangat tersusun kemas. Mata saya meliar memandang poster-poster filem lakonannya yang menghiasi dinding di ruang pejabatnya. "Duduklah", kata beliau sambil menghidangkan saya air kotak "chrysamthemum" yang di ambil dari peti sejuk di dalam pejabatnya.
Saya memulakan bicara berkaitan tujuan saya menemui beliau. Beliau mendengar dengan penuh teliti apa yang cuba saya sampaikan kepadanya. Alhamdulillah saya berjaya menyakinkan beliau untuk menjadi sebahagian daripada individu penting di dalam misi saya untuk mengangkat nama seorang tokoh besar di dalam sejarah perfileman Melayu.
Ikuti sebahagian isi penting perbualan saya dengan Datuk Rosyam Nor.
Saya : Datuk, saya nak tanya sedikit. Apa pendapat Datuk tentang Nordin Ahmad?
Rosyam Nor : Errmm.. penghayatan lakonan dia sangat hebat. Lakonannya juga mempunyai ruh dan jiwa yang sangat mendalam. Lontaran dialog dari mulut dia jelas, sebutir-sebutir keluar. Kau percaya tak, Nordin Ahmad adalah pelakon yang saya sangat suka melihat "side profilenya", "back shotnya" menggerunkan. "Enterframenya" juga sukar ditandingi oleh pelakun-pelakun lain. Matanya ada seni dan sentiasa berkata-kata.
Saya : Datuk tidak rasa ke yang Datuk juga mempunyai aura seperti Nordin Ahmad?
Rosyam Nor : Saya banyak mendengar komen ada yang menyamakan saya dengan Nordin Ahmad. Mungkin dari segi air muka, kumis dan senyuman saya ada irasnya. Jika ada yang mengatakan saya adalah jelmaan Nordin Ahmad, itu saya tak boleh nak katakan apa-apa. Saya tidak pernah terfikir sampai begitu, malahan saya berbangga kerana jika tidak banyak pun, sedikit tempias dirinya kena pada saya. Saya sangat bersyukur kerana sebagai saudara seislam, dan sebagai anak seni, peninggalan seninya ada pada saya. Setidak-tidaknya ia akan mengimbas semula nostalgia terhadap dirinya bila orang melihat lakonan saya. Sayang umurnya tidak panjang. Jika Allah mentakdirkan umurnya panjang, saya yakin beliau dapat memberi lebih banyak bagi menyuntik ilmu seninya kepada generasi selepas beliau.
Jangan lupa Majlis Perasmian galeri Rumah Nordin Ahmad pada 16 September ini di Komuniti Rumah Kayu, Sungai Besar.
0 Comments