Disangka hanya gastrik biasa, rupa-rupanya penyakit lain yang 'hinggap'.
Demikian kisah yang dikongsi oleh lelaki yang dikenali sebagai Bob Fadhil.
Menerusi perkongsian di Instagramnya baru-baru ini, Bob berkata pada mulanya dia menyangka sesak nafas yang dialami pada awal pagi hanya disebabkan gastrik.
“Pertama kali sakit macam gastrik ni empat, lima bulan lalu, kerap sangat. Boleh dikatakan dua minggu sekali kena.
“Periksa di klinik, doktor kata gastrik. Bila dah disuntik, baik,” katanya sambil menambah, rutin sama biasa dilakukan sekiranya simptom tersebut berulang.
Bagaimanapun menurutnya, hanya baru-baru ini, dia alami sesak nafas yang keterlaluan sehingga memaksanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Bob menjalani beberapa prosedur sebelum akhirnya didiagnos menghidap hiatal hernia. |
“Sesak nafas rasa nak mati. Berdiri rasa nak tumbang…muntah lebih 10 kali… tangan kaki semua shaking. Siap cakap dekat diri sendiri ‘macam ni ke malaikat Izrail nak cabut nyawa aku?
“Terus cakap kat isteri‘Syg, abg nak mati dah ni syg. Abg tak dapat nafas syg’. Isteri pun ikut sama menangis tengok kita, terus bawa ke hospital.
“Terus pergi private hospital bahagian kecemasan pukul 4.30 pagi. Doc suruh puasa. Pukul 8 pagi buat scope masuk camera dalam mulut.
“Selepas scope, buat ultrasound. Alhamdulillah servis pantas...dari pukul 12 tengah malam sampai 8 pagi hidup dalam keadaan nafas tak cukup,” tulis Bob lagi.
Selesai melakukan prosedur yang diperlukan, akhirnya pada tengah hari itu, tanda tanya mengenai simptom yang dialaminya selama beberapa hari itu terjawab.
“Doktor diagnos Bob ada hiatal hernia. Lagi teruk dari gastrik. Kalau orang rasa gastrik dah teruk, yang ni lagi teruk separuh mati,” tulisnya.
Hasil keputusan beberapa prosedur yang dijalani Bob |
Menurut lelaki ini lagi, antara sebab yang menyumbang kepada penyakit ini adalah amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat, di mana jika amalan sedemikian diteruskan, individu berkenaan berpotensi mendapat penyakit GERD (gastroesophageal reflux disease).
“Doktor cakap, sakit ni dah mula famous kat Malaysia sebab orang Malaysia ni kerjanya makan je. Makanan viral sikit pi makan.
“Doc kata, tak boleh kenyang sangat, tak boleh lambat makan, tunggu dua jam selepas makan baru tidur, makan pedas pun jadi faktor, stres juga antara punca.
”Korang yang suka makan pedas, dah boleh control makan. Korang yang suka makan berlebihan, dah boleh control makan,”pesannya.
Apa itu hernia hiatal?
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am, Endokrin dan Payudara Jabatan Surgeri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Profesor Madya Dr Shahrun Niza Abdullah Suhaimi berkata, hernia hiatal berlaku apabila bahagian perut menonjol melalui diafragma.
“Apabila berlakunya hernia hiatal maka GERD akan terhasil. Gejala utama GERD adalah pedih ulu hati, sakit dada, kesukaran menelan dan kerap sendawa,” katanya.
Menurut Dr Shahrun, pesakit yang mengalami hernia hiatal biasanya dikaitkan dengan tabiat merokok, obesity dan usia yang semakin meningkat terutamanya melebihi 50 tahun.
Prof Madya Dr Shahrun Niza Abdullah Suhaimi |
Ujarnya, beberapa perubahan gaya hidup boleh diamalkan untuk mencegah hernia hiatal atau boleh mengurangkan simptomnya, iaitu:
1) Mengekalkan berat badan yang sesuai
2) Berhenti merokok
3) Memperbaiki postur badan
4) Meminimumkan aktiviti lenturan badan atau mengangkat bebanan berat
5) Berdiri selepas makan
6) Makan dengan jumlah (portion) yang kecil sepanjang hari
7) Tidur dua atau tiga jam selepas makan malam
8) Elakkan mengambil kafien, coklat, pudina, alkohol, makanan bergoreng dan tinggi kandungan lemak
Rawatan:
1) Perubahan gaya hidup
2) Ubat-ubatan
3) Ubat antacid
“Dalam kes-kes yang jarang berlaku, pembedahan diperlukan untuk memperbaiki keabnormalan struktur yang berkaitan dengan keadaan ini. Pembedahan hernia juga dikenali sebagai pembedahan anti-refluks atau fundoplicationu bagi membetulkan kecacatan diafragma,”katanya.
0 Comments