Angkara Hantar Mesej Lucah, Seorang Lelaki Dijatuhi Hukuman

Angkara Hantar Mesej Lucah, Seorang Lelaki Dijatuhi Hukuman

 


Petaling Jaya: Perbuatan seorang pemandu lori yang menghantar mesej lucah kepada seorang wanita tidak dikenali dua tahun lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.


Mohd. Razman Ramli, 32, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Jamaludin Mat.




Sekiraanya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama tiga bulan dan OKS membayar jumlah denda itu.


Mengikut pertuduhan, Mohd. Razman didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya kepada seorang wanita dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.


Mesej itu kemudian telah dilihat di sebuah rumah di Ara Damansara, di sini pukul 2.49 petang pada 20 April 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.


Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.


Terdahulu OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan menyesal dengan perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.


“Selepas bercerai, saya menjaga dua anak yang masih kecil dan ibu yang uzur,” katanya


Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon kepada mahakmah agar memberi hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan sama.


Mengikut fakta kes, mangsa membuat aduan kepada MCMC selepas melihat mesej lucah yang dihantar OKS.


Bertindak atas laporan itu, pegawai MCMC membuat serbuan bersama pasukan polis di Jertih, Terengganu dan merampas barang-barang kes.


Hasil analisa mendapati, terdapat komunikasi lucah sebagai mana yang diadu oleh mangsa.

Post a Comment

0 Comments