TEMERLOH: Bahasa Melayu semakin luas penggunaannya di Mekah dan Madinah malah dikatakan menjadi bahasa kedua komunikasi di kota suci itu selepas bahasa Arab.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Bahasa dan Kebudayaan Melayu Nusantara, Prof. Datuk Dr. Aripin Said yang menunaikan umrah di tanah suci bermula 6 Mac lalu berkata, penggunaan bahasa Melayu secara berleluasa di kota suci tersebut dianggap aneh baginya tetapi membanggakan.
Menurutnya, secara tiba-tiba bulu romanya meremang apabila peniaga bangsa Arab fasih berbahasa Melayu dan fenomena itu perlu dikongsi bersama rakyat negara ini.
“Penggunaan bahasa Melayu secara meluas oleh peniaga dan toko besar yang menjual pelbagai produk seperti permaidani, jubah, tasbih, cincin permata, buah-buahan dan lain-lain mencabar sesetengah rakyat Malaysia yang memandang enteng bahasa Melayu.
“Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana bahasa Melayu diguna pakai di peringkat antarabangsa membabitkan lebih 350 juta penutur malah menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia,” katanya selepas menunaikan ibadah umrah yang berakhir semalam.
Aripin menambah, pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai di seluruh dunia tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang diberi taraf bahasa rasmi termasuk bahasa Melayu.
Beliau yang juga Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan menegur sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa Melayu sedangkan pendatang asing seperti Bangladesh, Myanmar, Pakistan dapat menguasai bahasa itu hanya dalam tempoh singkat.
Menurutnya, berdasarkan temu bual dengan peniaga Arab dikenali sebagai Muhammad Masraf, dia mengakui bahasa Melayu begitu indah dan mudah dipelajari sesuai dengan lidah semua bangsa.
Katanya, Muhammad Masraf memaklumkan, tetamu Allah SWT yang datang dari Malaysia dan nusantara berbahasa Melayu pada musim haji dan ibadah umrah merupakan sumber rezeki penduduk dan pengusaha hotel di situ.
Menurutnya, bahasa Melayu turut digunakan oleh pengusaha hotel di bahagian hadapan dan peniaga kanak-kanak juga fasih berbahasa tersebut untuk melariskan perniagaan.
“Lebih menarik, bangsa lain juga belajar menggunakan bahasa Melayu untuk urusan tawar menawar harga barangan,” katanya.
Aripin menambah, seorang lagi peniaga Arab dikenali Mohamad Mastar juga mengakui perniagaan jubah, tasbih dan lain-lain di bumi anbiya itu lebih laris apabila berbahasa Melayu kerana ramai yang memahami bahasa dunia ini.
Menurutnya, Mohamad Mastar memaklumkan dia hanya mendengar dan mengulang sebut lama, lama-kelamaan dalam tempoh singkat boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik.
“Mohamad Mastar mengakui bahasa Melayu indah sebutannya, mudah dipelajari malah penyambut tetamu dan pendaftaran hotel di bumi Arab menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
0 Comments