PEMILIK kelab Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan akan menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya telah membuat keputusan untuk menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil. Ianya adalah rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT.
"Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional tersebut mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.
Bagaimanapun pada masa sama Tunku Ismail meminta pihak berkuasa stadium tersebut untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jika langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak.
Untuk rekod, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini memilih Malaysia sebagai antara enam negara tuan rumah perlawanan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan sekali gus menyaksikan Stadium Nasional menjadi gelanggang pilihan.
0 Comments