"Saya memang berharap babak itu ada dalam MV sebab ia merupakan idea asal ibu saya. Dia yang memberi idea untuk babak tersebut dan ibu juga yang mendapatkan model wanita dari Ukraine itu. Apa yang saya tunjukkan, netizen tak suka ke apa... memang semuanya keluarga saya tahu! Saya tak akan buat sesuatu yang keluarga tak suka.
"Memang agak sedih bila babak tersebut terpaksa disunting dan dibuang. Ikutkan memang dah rancang nak jadikan ia salah satu gimik selepas dilancarkan. Kami rakam MV itu awal bulan Februari lalu sebelum timbulnya isu Zul Ariffin. Bila dah jadi isu, terpaksa la buang. Ikutkan bagi saya, tak ada masalah pun babak itu.
"Sebab saya pun ambil idea dan rujukan daripada MV lama-lama seperti MV lagu Joe Flizzow dan Caprice. Mereka pun ada MV yang memaparkan wanita berpakaian bikini saja. Tapi sekarang netizen sensitif... kadang-kadang sensitif tak bertempat. Tapi saya pelik, bila babak itu tak ada dalam MV, netizen geram pula.
"Bila ada, kena kecam!" itulah kata penyanyi Chubb-E yang mendedahkan adegan panas menampilkan seorang wanita separuh bogel dalam video muzik (MV) lagu terbaharunya berjudul 'Rambang' merupakan idea asal ibunya sendiri.
Meletakkan harapan tinggi agar babak itu ditayangkan dalam MV berkenaan, Chubb-E atau nama sebenar Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy, berkata keluarganya mengetahui apa yang dilakukan terutamanya berkaitan kerjaya seni.
Sebelum ini, tular foto sedutan babak dalam MV berkenaan memaparkan seorang wanita separuh bogel. Dalam pada itu, Chubb-E menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana MV berkenaan tidak mengandungi adegan keterlaluan.
Gara-gara kecaman itu, pihaknya terpaksa membuang babak berkenaan selepas menerima kritikan netizen yang menganggap ia terlalu sensitif. Ujar Chubb-E, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu memandangkan banyak MV lagu penyanyi rap lain seperti Caprice dan Joe Flizzow menggunakan konsep yang sama.
Kredit: myartis
0 Comments