Al Fatihah - Pilu Pegawai Bomba Selalu Angkat Mayat Kemalangan, Kali Ini Angkat Mayat Mak Sendiri Kemalangan Kereta

Al Fatihah - Pilu Pegawai Bomba Selalu Angkat Mayat Kemalangan, Kali Ini Angkat Mayat Mak Sendiri Kemalangan Kereta

 

MUHAMMAD Farid bersama bapanya menunjukkan gambar terakhir ibunya. (Gambar kecil) Norhamidah Kamar.


Tanjong Karang: "Saya biasa terbabit dengan operasi menyelamat mangsa kemalangan jalan raya dan sudah mengangkat lebih 20 mayat.


"Namun semalam saya terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila mengangkat mayat mak sendiri dan memasukkannya ke dalam plastik," kata Muhammad Farid Arbak, 29.


Muhammad Farid adalah anak kepada Norhamidah Kamar, 59, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu, di sini, semalam.


Norhamidah yang bertugas sebagai guru bimbingan dan kaunseling di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Kuala Selangor dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dipandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebatang pokok.


Muhammad Farid yang bertugas sebagai Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor berkata, ketika kejadian beliau sedang bertugas sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kemalangan menimpa ibunya.


"Saya bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki motosikal. Dalam masa sama, saya berharap mak hanya terbabit kemalangan biasa dan boleh dirawat.


"Sebaik tiba, saya lihat orang sangat ramai menyebabkan saya tinggalkan motosikal kerana tiada ruang untuk lalu.


"Saya lari menuju ke arah mak dan sebaik menghampiri, remuk hati melihat jenazah sudah terbaring di jalan raya dalam keadaan ditutup dengan kain batik.


"Kali terakhir saya bertemu mak di sekolahnya pada waktu pagi (semalam). Kebetulan mak tertinggal teluk itik dan telur masin yang dikirim oleh rakannya.


"Disebabkan tempat kerja saya dengan sekolah mak tidak jauh, saya sempat menghantar pesanan yang diminta," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Yu, hari ini.


Muhammad Farid berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila masih terngiang-ngiang suara ibunya yang mengejutkannya bersahur pada pagi sebelum kejadian.


"Sehari sebelum itu, kami sekeluarga sempat berbuka puasa bersama dan menunaikan solat sunat Tarawih di surau berhampiran.


"Ramadan tahun ini adalah yang terakhir buat saya bersama mak. Sebagai orang Islam, saya reda dengan ketentuan Ilahi kerana mak bertemu Penciptanya dalam bulan penuh mulia," katanya yang juga anak ketiga daripada enam beradik.


Sementara itu, suami Norhamidah, Arbak Atan, 60, berkata, dia sempat menghubungi isterinya yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah.


"Kebetulan saya bersama seorang anak perempuan dan cucu pergi ke sebuah farmasi di Tanjong Karang untuk membeli ubat.


"Sebaik tiba di pintu gerbang berhampiran rumah, saya lihat beberapa anak muda memanggil saya dan memaklumkan isteri terbabit kemalangan.


"Saya terkejut melihat isteri sudah terbaring kaku dan segera menghampirinya. Pada masa sama, saya memeriksa nadinya namun sudah terhenti.


"Ketika itu, hanya ucapan dua kalimah syahadah mampu diucapkan dan saya berdoa supaya rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.


Jenazah Norhamidah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At Taqwa, Kampung Sungai Yu.


Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati Toyota Avanza dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan di sebelah kanan.


"MPV mangsa kemudian terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi bahu jalan sebelah kanan jalan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Post a Comment

0 Comments