Berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan
Putrajaya: Pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan produk itu berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan.
KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyebut, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.
Menurut KPDNHEP, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
"Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.
"Pewartaan ini adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.
"KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport," kata kementerian itu.
Pewartaan itu dibuat dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport. Syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.
Bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Cop MS SIRIM hanya dikotak dan bungkusan bukan seperti di bawah yang di viral
Seperti barangan elektrik, cop MS SIRIM diletakkan di bahagian badan peralatan, untuk facemask akan diletakkan di kotak atau bungkusan sahaja |
0 Comments