Fauzi Cari Calon Isteri Minat Ular

Fauzi Cari Calon Isteri Minat Ular

MOHD. Fauzi Syarwani Seman bersama ular sawa Burma albino kesayangan yang kini sudah seberat 100 kilogram di rumahnya di Kampung Air Naga, Tanah Merah, Kelantan Foto: Google

 

TANAH MERAH: Ular atau saya? Itu syarat dibuat bekas isterinya, memaksa seorang penjinak ular mengorbankan perkahwinan mereka kerana sayangkan kerjaya dan ular sawa Burma albino belaannya, 10 tahun lalu.


Kata Mohd. Fauzi Syarwani Seman, 39, atau digelar Fauzi Ular berkata, mereka akhirnya bercerai kerana bekas isterinya tidak selesa tinggal bersama ular sawa itu yang dibeli dengan harga RM2,000.


Katanya, selepas 10 tahun membujang dan ular sawa kesayangannya itu sudah membesar sehingga mencecah berat 100 kilogram, kasihnya terhadap reptilia tersebut tidak pernah luntur.


“Selama 10 tahun membujang, ada lima gadis mahu mengahwini saya, tetapi saya tolak dengan baik. Sekarang barulah saya terbuka hati dan berharap ada wanita sudi jadi teman hidup.


“Saya tidak kisah anak dara atau janda, janji dia memahami kerjaya saya sebagai penjinak ular dan pencinta ular seperti saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Naga, Ulu Bertam, di sini baru-baru ini.


Ketika ini, Mohd. Fauzi aktif membuat persembahan dengan bayaran RM100 hingga RM200 sehari, selain mengambil upah menangkap ular dengan bayaran RM50 hingga RM100, bergantung kepada jenis ular.


Bercerita lanjut, Mohd. Fauzi berkata, dia mula belajar menjadi penjinak ular selepas menonton filem Hindustan bertajuk Nagin ketika berusia lapan tahun dan dalam tempoh 30 tahun, dia sudah 13 kali dipatuk ular berbisa.


“Pernah sekali saya dipatuk ular tedung berbisa sehingga masuk hospital selama dua minggu dan ambil masa berbulan-bulan untuk sembuh namun minat saya pada ular tidak pernah berubah,” katanya.


Kata Mohd Fauzi, selain membela ular dengan lesen dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, dia turut membela haiwan lain seperti tikus, ayam, iguana dan arnab.


“Kalau ada yang sudi jadi isteri saya, boleh hubungi saya di talian 0179280870,” katanya yang turut menguar-uarkan niatnya mahu berumah tangga di akaun Facebook miliknya, Fauzi Beling Beling.


Sumber: Utusan 

Post a Comment

0 Comments