Hukum Puasa Apabila Mandi Wajib Selepas Azan Subuh

Hukum Puasa Apabila Mandi Wajib Selepas Azan Subuh

 


Bagi mereka yang berhadas besar, perlu mandi wajib untuk berpuasa, apatah lagi jika mahu menunaikan solat.


Namun, bagaimana jika seseorang itu mandi wajib selepas azan Subuh? Sah ke puasanya?


Dalam hal itu, mandi hadas (mandi wajib) perlu disegerakan kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah melambat-lambatkan mandi wajib sehingga terlepas waktu solat.


Walaupun demikian, puasa seseorang yang mandi hadas besar selepas waktu Subuh ialah sah.


Namun, jika individu sengaja melambat-lambatkan sehingga luput waktu solat subuh, maka dia berdosa.


Ada dua kesalahan yang dilakukan iaitu sengaja melambatkan mandi hadas dan tidak solat subuh.


Pada asasnya, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa.


Syarat sah puasa ialah Islam, baligh, suci daripada haid dan nifas serta dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.


Bagi wanita yang datang haid atau nifas, maka tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid atau nifas.


Sekiranya haid atau nifas datang pada waktu siang hari, maka batallah puasanya pada hari itu.


Jika wanita itu bersih daripada haid atau nifas pada waktu malam, wajib ke atasnya berpuasa keesokannya, sekalipun dia belum sempat mandi hadas (mandi wajib).


Kesimpulannya, sah puasa walaupun mandi wajib dilakukan selepas waktu subuh.


Meskipun, sah puasa kita, janganlah kita memandang remeh hal itu kerana ia berkaitan soal ibadah kita.


(Sumber: Portal Rasmi Kemusykilan Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)



Post a Comment

0 Comments