Temerloh Pahang 30 Okt. - Seorang ibu tunggal yang hilang tempat bergantung selepas kematian suami beberapa bulan lalu merayu bantuan orang ramai bagi melakukan pembedahan anaknya yang mengalami komplikasi kulit akibat kebakaran.
Suraya Abdul Manan berkata, pembedahan terhadap Iqram Hashim,11 perlu dilakukan segera bagi mengelakkan anaknya berasa rendah diri semasa remaja.
"Pembedahan kulit perlu ke atas Iqram sebelum berusia 13 tahun bagi mengelakkan dia berasa rendah diri apabila remaja.
"Namun sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja saya berasa sedih kerana tidak mampu mengeluarkan kos pembedahan kira-kira RM20,000,"katanya yang tinggal di rumah bapanya di Felda Jengka 23 di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menceritakan kejadian menimpa anaknya Suraya memberitahu semasa kejadian pada 26 November 2011 dia sedang membakar sampah di belakang rumah mereka di Felda Kumai, Bera.
Jelasnya, tanpa diduga timbunan sampah yang dipercayai terdapat bekas kosong penyembur racun serangga telah meletup.
"Iqram ketika itu berusia dua tahun yang berada kira-kira satu meter disambar api dan menjerit kesakitan,"katanya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Suraya Abdul Manan 156141643641 atau menghubungi talian 011-8845209.
0 Comments