Sebuah petisyen diwujudkan bagi mendapatkan sokongan membebaskan Sam Ke Ting, 27, yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru kerana menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.
Semakan di pautan change.org dengan tanda pagar #FreeSamKeTing mendapati patisyen tersebut telah mendapat sokongan lebih 600,000 sehingga jam 8 pagi tadi.
Dalam pautan itu juga dinyatakan pihak yang membuat petisyen menganggap kerani itu tidak bersalah dalam insiden terbabit, dan dia adalah mangsa sebenar dalam tragedi itu.
Menerusi keterangan di patisyen, mereka menyalahkan kegagalan ibu bapa ‘bakal mat rempit’ yang ditujukan kepada ahli keluarga lapan remaja yang maut dirempuh wanita itu pada jam 3 pagi, lima tahun lalu.
“Kami tidak menerima penghakiman ini, dan menyeru hukumannya dibatalkan, supaya tidak merompak masa depan cerah seorang warganegara Malaysia yang muda dan tidak bersalah.
“Sam Ke Ting bukanlah punca kemalangan ini. Puncanya ialah16 bakal mat rempit dan ibu bapa mereka,” tulis keterangan itu.
Semalam, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Keputusan itu sekali gus mengenepikan penghakiman Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan tersebut.
Responden, turut diperintah menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi jika tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.
0 Comments