Sebelum ini kecoh di media sosial apabila sebuah video menampilkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie dikecam teruk dek gara-gara kenyataannya menggunakan perkataan hauk dan dalam masa sama mempromosikan pelitup muka jenamanya yang bakal memperolehi cop SIRIM.
Bagaimanapun, Jovian yang juga menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri itu menerusi laman sosial miliknya telah tampil menjelaskan kenyataannya mengenai pelitup muka 'hauk'.
Terkini, sebuah video memperlihatkan pelitup muka keluaran Jovian Mandagie pula terputus talinya ketika siaran langsung tular di laman sosial. Menerusi video pendek yang dipercayai untuk siaran jualan langsung itu menyaksikan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku duta produk berkenaan cuba memakai pelitup muka tersebut.
Namun perkara tidak dijangka berlaku apabila talinya terputus ketika hendak disarungkan ke muka. Bagaimanapun, Siti Nurhaliza menerusi video tersebut mengatakan tali pelitup muka itu terputus disebabkan cara dia menariknya terlalu kasar.
"Sebab itu saya takut tau... sebab kalau saya pegang apa-apa, tangan saya ini gagah sangat," kata Siti Nurhaliza yang ketika itu turut ditemani Jovian.
Kemudian, tali pelitup muka baharu yang ingin diberikan kepada penyanyi itu terputus sekali lagi. Video tersebut menarik perhatian dan mendapat pelbagai respons dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mempertikaikan kualiti produk keluaran pereka fesyen terkenal itu.
Malahan tular pula sebuah video menguji kualiti tali pelitup muka murah tersebut dengan menggantung barang-barang rumah. Hasilnya, tali pelitup muka itu tidak terputus dan mampu menahan beban yang digantung.
Apa-apa pun, diharapkan kerajaan mempertimbangkan cop SIRIM dengan setiap pengeluaran pelitup muka. Hal ini dibimbangi memberi kesan kenaikan harga pada pelitup muka yang telah diwajibkan penggunaannya dan sekali gus memberi bebanan yang bertambah kepada rakyat.
0 Comments