Mengenang Peristiwa 11 Ramadhan Siti Khadijah R.A Isteri Rasulullah Meninggal Dunia

Mengenang Peristiwa 11 Ramadhan Siti Khadijah R.A Isteri Rasulullah Meninggal Dunia

 



11 Ramadhan Tahun ke-10 kenabian adalah hari yang tidak dapat dilupakan oleh Baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Isteri tercintanya yang banyak berjasa iaitu Sayyidah Khadijah Binti Khuwailid telah wafat dalam usia 65 tahun. 


Usia Rasulullah SAW pada masa itu adalah 50 tahun. Pada hari wafatnya Sayyidah Khadijah, setiap tahun dalam bulan Ramadhan terutama ulama ahlul Bait selalu memperingatinya kerana beliaulah wanita pertama menerima dakwah nabi dan sebaik-baik wanita penghuni syurga. 


Wafatnya isteri yang paling dicintai Nabi itu berlaku tiga tahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Sayyidah Khadijah adalah isteri pertama Rasulullah. Orang yang pertama kali beriman kepada Allah dan kenabian Rasulullah. Orang yang sangat berjasa bagi dakwah Rasulullah SAW dan sewaktu penyebaran agama Islam. 


Diriwayatkan, ketika Khadijah sedang sakit menjelang ajal, Khadijah berkata kepada Rasululllah SAW: "Aku memohon maaf kepadamu Ya Rasulullah, aku sebagai isterimu belum berbakti apa-apa kepadamu." 


"Tidak Khadijah Engkau telah membantu dakwah Islam sepenuhnya," kata Rasulullah. 


Kemudian Khadijah memanggil puterinya, Fatimah Azzahra dan berbisik: "Fatimah puteriku, aku yakin ajalku sedang tiba, yang kutakutkan adalah siksa kubur. Tolong mintakan kepada ayahmu, aku malu dan takut memintanya sendiri, supaya beliau memberikan serbannya yang menjadi tanda wahyu dan dijadikan kain kafanku.


" Mendengar Rasulullah SAW lantas berkata: "Wahai Khadijah, Allah menitipkan salam kepadamu, dan telah persiapkan tempatmu di syurga. Ummul mukminin, Sayyidati Khadijah pun kemudian menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan Rasulullah. Sambil mendakap isteri Baginda dengan perasaan yang sangat pilu. Tumpahlah air mata mulia Baginda dan semua orang yang ada di situ. 


Tidak berapa lama kemudian Malaikat Jibril pun turun dengan mengucap salam dan membawa lima kain kafan. Rasulullah SAW menjawab salam Jibril dan kemudian bertanya: "Untuk siapakah kain kafan itu, ya Jibril?" 


"Kafan ini untuk Khadijah, untuk engkau ya Rasulullah, untuk Fatimah, Ali dan Hasan, jawab Jibril. Jibril berhenti berkata-kata dan kemudian menangis. Rasulullah SAW bertanya: "Kenapa Ya Jibril?" 


"Cucumu ya Rasulullah, cucumu yang satu iaitu Sayyidina Husain tidak memiliki kain kafan, dia akan dibunuh dan dihina tanpa kain kafan dan tak dimandikan," sahut Jibril. 


Lalu Rasulullah berkata dekat jasad Khadijah: "Wahai Khadijah isteriku sayang, demi Allah aku takkan pernah mempunyai isteri sepertimu lagi. Pengabdianmu kepada Islam dan diriku sungguh luar biasa. Allah maha mengetahui semua amalanmu.


"Semua hartamu kau hibahkan untuk Islam. Kaum muslimin pun ikut menikmatinya. Semua pakaian kaum muslimin dan pakaianku ini juga darimu. Namun begitu, mengapa permohonan terakhirmu kepadaku hanyalah sebuah serbanku? 


Tersedu Rasulullah mengenang isterinya semasa hidup. Seluruh kekayan Khadijah diserahkan kepada Rasulullah untuk perjuangan agama Islam. Dua per tiga kekayaan Kota Makkah adalah milik Khadijah. Tetapi ketika Khadijah hendak wafat, tidak ada kain kafan yang boleh digunakan untuk menutupi jasad Khadijah. Bahkan pakaian yang digunakan Khadijah ketika itu adalah pakaian yang sangat lusuh dengan 83 tampalan di antaranya dengan kulit kayu. 


Rasulullah kemudian berdoa kepada Allah: "Ya Allah ya Ilahi Rabbi, limpahkanlah rahmat-Mu kepada Khadijahku, yang selalu membantuku dalam menegakkan Islam. Percayaiku pada saat orang lain menentangku. Menyenangkanku pada saat orang lain menyusahkanku. 


Mententeramkanku pada saat orang lain membuatku gelisah. Wahai Khadijahku sayang, kau meninggalkanku sendirian dalam perjuanganku. Siapa lagi yang akan membantuku?" Tiba-tiba Sayyidina Ali berkata: "Aku, Ya Rasulullah..! Pengorbanan Sayyidati Khadijah semasa hidup. 


Kisah Romantis 


Dikisahkan, suatu hari ketika Rasulullah pulang dari berdakwah, Beliau masuk ke dalam rumah. Khadijah menyambut dan berdiri di depan pintu. Ketika Khadijah  berdiri, Rasulullah bersabda: "Wahai Khadijah, tetaplah kamu di tempatmu. Ketika itu Khadijah sedang menyusui Fatimah yang masih bayi. Saat itu seluruh kekayaan mereka telah habis. Makanan pun tidak ada. Sehinggakan ketika Fatimah menyusu, bukan air susu yang keluar akan tetapi darah. Darahlah yang masuk dalam mulut Fatimah Azzahra. 


Kemudian Beliau mengambil Fatimah dari gendongan isterinya lalu diletakkan di tempat tidur. Rasulullah yang lelah selepas pulang dari berdakwah menghadapi segala caci maki dan fitnah manusia sebelumnya lalu berbaring di pangkuan Khadijah. 


Rasulullah tertidur. Ketika itulah Khadijah membelai kepala Rasulullah dengan penuh kelembutan dan rasa sayang. Terasa air mata Khadijah menitis di pipi Rasulullah. Beliau pun terjaga. "Wahai Khadijah Mengapa engkau menangis? Adakah engkau menyesal bersuamikan aku, Muhammad?" tanya Rasulullah dengan lembut. 


"Dahulu engkau wanita bangsawan, engkau mulia, engkau hartawan. Namun hari ini engkau telah dihina orang. Semua orang telah menjauhi dirimu.Seluruh kekayaanmu habis. Adakah engkau menyesal wahai Khadijah bersuamikan aku, Muhammad?" kata Rasulullah yang tak berdaya melihat isterinya sedang menangis. 


"Wahai suamiku. Wahai Nabi Allah. Bukan itu yang kutangiskan," jawab Khadijah. 


"Dahulu aku memiliki kemuliaan. Kemuliaan itu telah aku serahkan untuk Allah dan RasulNya. Dahulu aku adalah bangsawan. Kebangsawanan itu juga aku serahkan untuk Allah dan RasulNya. Dahulu aku memiliki harta kekayaan. 


Seluruh kekayaan itupun telah aku serahkan untuk Allah dan RasulNya. Wahai Rasulullah. Sekarang aku tak punya apa-apa lagi. Tetapi engkau masih terus memperjuangkan agama ini. Wahai Rasulullah. 


Sekiranya nanti aku mati sedangkan perjuanganmu ini belum selesai, sekiranya engkau hendak menyeberangi sebuah lautan, sekiranya engkau hendak menyeberangi sungai namun engkau tidak memperoleh rakit pun atau pun jambatan. Maka galilah lubang kuburku, ambilah tulang belulangku. 


Jadikanlah sebagai jambatan untuk engkau menyeberangi sungai itu supaya engkau boleh berjumpa dengan manusia dan menyambung dakwahmu. Ingatkan mereka tentang kebesaran Allah. Ingatkan mereka kepada yang hak. Ajak mereka kepada Islam, wahai Rasulullah.


" Oleh karena itu, peristiwa wafatnya Sayyidah Khadijah sangat menusuk jiwa Rasulullah. Alangkah sedih dan pedihnya perasaan Rasulullah ketika itu kerana dua orang yang dicintainya iaitu isterinya Sayyidati Khadijah dan bapa saudaranya Abu Thalib telah wafat. 


Tahun itu disebut sebagai Aamul Huzni (tahun kesedihan) dalam kehidupan Rasulullah. Semoga bermanfaat. 


Rujukan: Kitab Al-Busyro karya Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki



Post a Comment

0 Comments