Misteri Kehilangan Seorang Pembantu Kesihatan Awam Terungkai

Misteri Kehilangan Seorang Pembantu Kesihatan Awam Terungkai

 

ANGGOTA bomba membawa naik mayat Pembantu Kesihatan Awam yang ditemui meninggal dunia dalam tali air Parit 8 Barat.

Sungai Besar: Misteri kehilangan seorang Pembantu Kesihatan Awam dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam sejak dua hari lalu terungkai apabila dia ditemukan meninggal dunia dalam tali air Parit 8 Barat, di sini, semalam.


Namun, hasil penemuan jasad itu menjadi tanya bagaimana kematian itu berlaku.


Mayat mangsa berusia 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlingkup di lokasi kejadian oleh rakannya pada 2.15 petang.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan pemeriksaan sejurus menerima maklumat daripada rakan mangsa berusia 50 tahun itu.


"Siasatan awal mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan terlingkup berserta topi keledar bersebelahan dengannya.


"Pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal mangsa berada dalam tali air terbabit dengan jarak kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dijumpai," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Agus Salim berkata, pihaknya meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar untuk mengeluarkan mayat mangsa dan motosikal miliknya dari tali air itu.


Menurutnya, hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan.


"Berdasarkan keterangan rakan mangsa, dia bersama mangsa akan ke Klang bagi mengambil racun bagi tujuan kerja-kerja 'fogging'.


"Pada jam 7 pagi semalam, pengadu sampai di Unit Vektor PKD Sabak Bernam dan mendapati mangsa belum sampai. Dia menunggu sehingga jam 8 pagi sebelum menghubungi keluarga mangsa. Bagaimanapun, keluarganya memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.


"Pengadu kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelianya dan mereka bertindak mencari mangsa," katanya.


Agus Salim berkata, rakan-rakan mangsa kemudian menjumpai topi keledar dipercayai milik mangsa dan ketika diperiksa, mereka mendapati ada mayat berdekatan topi keledar itu.


Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam dan diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk bedah siasat.

Post a Comment

0 Comments