Mulut Orang Berpuasa Berbau? Itu Hanya Zahir, Imam AlGhazali Perjelaskan

Mulut Orang Berpuasa Berbau? Itu Hanya Zahir, Imam AlGhazali Perjelaskan

 

Allah taala tidak akan anggap bau mulut orang berpuasa itu busuk, bahkan akan menggantikannya dengan bau wangian. Yang penting adalah kualiti kebersihan perbuatan zahir dan jiwa seseorang semasa berpuasa. Foto Google


Apabila berpuasa kita harus betul-betul menjaga kualiti zahir mahupun batin agar amalan kita diangkat oleh al-Haqq. Nasihat seorang ulama yang dikarang Imam al-Ghazali , “Selama mana hamba masih terkotori selain Allah, ia tak boleh mendekati dan bersama dengan-Nya sebelum menyucikan hati dari segala kekotoran selain Dia.” 


Imam al-Ghazali dalam kitabnya berjudul “Raudhatut Thalibin wa ‘Umadatus Salikin” mengatakan Allah taala tidak akan menganggap bau mulut orang berpuasa itu busuk, bahkan akan menggantikannya dengan bau wangian. Yang penting adalah kualiti kebersihan perbuatan zahir dan jiwa seseorang semasa berpuasa. 


Kotornya tubuh dapat dibersihkan dan disucikan dengan air, tetapi kekotoran hati kerana banyak melakukan perbuatan tercela harus disucikan dengan air qurbah (pendekatan) dan inabah (air mata taubat).


Selain itu, untuk mendekatkan diri dengan Allah bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Imam Al-Ghazali menegaskan pastikan makanan yang kita makan adalah halal dan dari sumber yang berkat. Seperti dinyatakan ketika membincangkan makna kata ath-Thayyibat ( QS Al-Baqarah [2] : 172) yang bererti halal dan suci. 


Maksudnya, makanan yang baik menjadi penyebab utama kelakuan seseorang. Walaupun seorang hamba mendirikan solat dengan begitu khusyuk sekalipun sedangkan dia tidak mengetahui apa yang masuk ke dalam perutnya sungguh tidak bermakna perbuatan ibadat lain.


Imam Al-Ghazali juga menyatakan bahawa manusia yang paling cepat menyeberangi titian sirat adalah yang paling bagus terhadap urusan duniawi. Dan asbab dengan menahan lapar boleh menjadi kunci untuk berjumpa dengan Allah SWT. sebagaimana firman-Nya dalam hadis qudsi, “Hai hamba-Ku, laparkanlah dirimu nescaya kau melihat-Ku, bersikap waraklah pasti kau mengenal-Ku, dan berpalinglah (dari dunia) nescaya kau akan sampai kepada-Ku.”


Oleh itu, Imam Al-Ghazali menyarankan dalam kitab Minhaj al-‘Arifin untuk mengawal hawa nafsu, termasuk nafsu untuk memperoleh ganjaran, sebagaimana nasihatnya: 


“Jika engkau berpuasa, berniatlah untuk mengekang nafsu dari berbagai keinginan. Kerana berpuasa bererti menundukkan kehendak nafsu. Ia mengandungi kejernihan hati, menguruskan badan, dan mengingatkan kita untuk berbuat baik kepada golongan fakir. Itu semua tidak lain tidak bukan supaya kita kembali kepada Allah SWT. Bersyukur atas berbagai nikmat yang Dia anugerahkan, dan meringankan hisab. Maka, anugerah Allah seperti taufik dan hidayah yang menjadikanmu mampu berpuasa itu lebih besar berbanding menuntut balasan dari-Nya kerana kamu berpuasa.”


Tiga Tingkatan 

Di sisi lain, Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulumuddin mengatakan puasa ada tiga tingkatan: umum (awam), khusus (istimewa), dan khususil khusus (sangat istimewa). 


Pertama, puasa umum atau awam menahan perut dari makan dan kemaluan daripada memenuhi syahwat, sebagaimana ditulis sebelumnya.


Kedua, puasa khusus (istimewa) menahan pendengaran, penglihatan, lisan, tangan, kedua kaki, dan seluruh anggota tubuh dari perbuatan tercela dan dosa. 


Ketiga, puasa khususil khusus (sangat istimewa) puasanya hati dari kehancuran agama dan pemikiran duniawi, serta menahan dari selain Allah SWT secara terperinci. Kerana itulah, puasa cara terakhir menghindari perkara kotor masuk dalam fikiran tentang sesuatu selain Allah, dan Hari Akhir, Kecuali ketika hal-hal duniawi itu diperuntukkan bagi kemaslahatan aspek-aspek agama (ukhrawi).


Puasa juga menjadi satu tingkatan ibadah yang sangat khusus antara hamba dengan Tuhan. Suatu ibadah yang benar-benar dipersembahkan kepada Allah, tiada tuhan yang lainnya, seperti termaktub dalam sebuah hadis qudsi: “Setiap amalan manusia untuk dirinya, kecuali puasa. Kerana puasa itu untuk-Ku, dan Aku akan mengganjarkan pahala untuk amalan itu.” 


Hadis ini mengisyaratkan bahawa untuk mendekatkan diri pada Yang Maha Suci seseorang harus menyucikan dirinya.





Post a Comment

0 Comments