Peguam Backup Penjenayah? Peguam Ini Brainwash Netizen

Peguam Backup Penjenayah? Peguam Ini Brainwash Netizen

 




Peguam backup penjenayah?


Peguam pekerjaan iblis?


Aku malas sebenarnya nak naikkan balik hujah menjawab soalan-soalan ni. Tapi takpalah. Aku jawab seringkas mungkin.


Kerja Peguam, bukan backup penjenayah. Tetapi kerja Peguam adalah membantu Mahkamah.


Pendakwa Raya bawa kes ke Mahkamah, cakap orang ini cakap orang itu rogol, mencuri, merompak, membunuh, menipu, mencabul, dan sebagainya, maka, Pendakwa Raya kena bagi bukti.


Masalahnya, kalaulah Peguam ni tak wujud. Kalaulah kan. Kalau lah kerjaya Peguam ni diharamkan sebab membela orang jahat,


Pendakwa Raya tersilap tuduh orang, macam mana? Kalau Polis tersilap tangkap orang, macam mana?


Kalau Pendakwa Raya dan polis tuduh seseorang itu dengan tuduhan salah, macam mana? Contohnya, kesalahannya hanya mencuri, tapi Pendakwa Raya tuduh dia merompak bersenjata. Adil tak macam ni?


Kalau Pendakwa Raya tu bagi bukti, tapi bukti tu bukti yang tidak jelas dan tidak sah, adil atau tidak kalau Hakim tu nak jatuhkan hukuman pada tertuduh?


Dalam Undang-undang Islam, bukti-bukti dan saksi-saksi ni amat dititikberatkan. Tak cukup saksi, boleh buang kes. Tak cukup bukti, kes ditutup. Kalau dalam sivil pun, lebih kurang sama.


Kalau kau tengah bersenang-lenang kat rumah dengan family, tiba-tiba polis terjah masuk, geladah rumah kau, lepas tu polis jumpa sepeket dadah dalam tong sampah depan rumah kau.


Kau pun ditangkap dan bakal dihukum bawah akta dadah berbahaya. Padahal, dadah tu bukan kau punya, dan kau tak pernah pegang dadah.


Kau rasa, waktu tu kau perlukan Iblis-Iblis ni tak untuk backup kau?


Sebab, kes dadah tiba-tiba ada dalam rumah waktu polis check ni, pernah berlaku kat client aku sendiri. Benda ni pernah berlaku, tapi aku yakin, bukan polis yang buat, cuma orang lain nak sabotaj.


Kita nampak je orang ini orang itu kena tuduh kat Mahkamah, dan Peguam backup, terus kita cop Peguam ni backup penjenayah.


Seorang ibu kena hukum mencuri tin susu untuk anaknya kelaparan. Ini pun penjenayah, dan Peguam Iblis backup.


Seorang lelaki yang kesempitan wang, berhutang dengan Along, terpaksa serahkan kad bank dia kepada Along sebagai jaminan. Tup-tup, Along gunakan kad bank dia untuk scam orang. Yang kena dakwa, lelaki tersebut, sebab transaksi semua bawah nama lelaki tu. Ini pun penjenayah, dan Peguam Iblis backup.


Seorang budak sekolah membunuh ayah sendiri di rumah. Bila dihadapkan ke Mahkamah, rupa-rupanya dia tak tahan dilacurkan oleh ayah dia sendiri, sebab itulah dia bunuh ayah dia. Tapi dia perlu juga dihukum dengan hukuman minima. Dia penjenayah, dan Peguam Iblis backup.


Nampak tak betapa rumitnya sesuatu kes tu, bukan hanya dia penjenayah atau tidak, tetapi bagaimana Mahkamah hendak melayani sebab-sebab disebalik kes tersebut?


“Tapi apsal Peguam backup juga orang yang memang terang-terang jahat?”


Sebab, konsep keadilan adalah, meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Ada seorang lelaki, dia jahat. Dia tumbuk orang sampai pecah muka. Bila masuk Mahkamah, dia dituduh sebab mendatangkan kecederaan, dan dituduh pula dengan kesalahan lain seperti ugutan jenayah. Padahal dia hanya tumbuk sahaja.


Dia jahat,tapi tidak adil baginya dituduh sesuatu yang dia tak buat.


Bagi contoh lain, seperti, dia sah  mencuri, tapi Peguam backup juga. Persoalannya, adakah bukti-bukti yang dibawa PendakwaRaya tu sah?


Itu tanggungjawab Pendakwa Raya lah yang perlu membawa bukti kukuh untuk dakwa pencuri tersebut. Dan Hakim wajib mengambil kira pengukuhan bukti sebelum jatuhkan apa-apa hukuman.


Sebab, kalau ada bukti tidak sempurna, tapi diambil kira oleh Mahkamah. Ia akan jadi masalah bagi kes-kes orang lain, pada masa akan datang.


Contohnya, CCTV tak jelas. Mahkamah tak kira, dia tetap jatuhkan hukuman ke atas pencuri tersebut walaupun bukti CCTV tu tak jelas.


Pada masa akan datang, apabila ada orang lain yang dituduh mencuri, padahal dia tak mencuri pun, takda bukti CCTV, takda bukti apa pun yang boleh kaitkan dia dengan curian tersebut, Pendakwa Raya boleh gunakan hujah takda CCTV untuk sabitkan kesalahan ke atas dia, sebab kes sebelum ni, boleh je kena hukum walaupun takda bukti CCTV.


Tugas Peguam satu lagi adalah ini.


Untuk memastikan tangkapan dan tuduhan itu benar-benar mengikut prosedur yang disediakan.


Adil tu meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Kalau tak ikut prosedur, tidak adil lah sebab tak letakkan seseorang itu dalam prosedur yang sepatutnya. Sama ada penjahat tu dilepaskan atau tidak, bukan kerja Peguam. Peguam hanya membantu Mahkamah mengemukakan bukti bahawa tertuduh tidak lakukan kesalahan tersebut, dan supaya Pendakwa Raya melakukan tugas mengikut prosedur yang betul.


Satu lagi, jangan salah faham. Apabila Peguam dilantik, kerja mereka bukan hendak melepaskan tertuduh. Kebanyakan kes, Peguam akur bahawa anakguam dia melakukan kesalahan.


Maka, Peguam yang baik akan meminta Mahkamah supaya hanya kurangkan hukuman sahaja. Tertuduh tu tetap didapati salah, tapi Peguam akan memohon Mahkamah supaya kurangkan hukuman ke atas tertuduh tersebut atas faktor kewangan, kesihatan dan lain-lain yang dialami oleh tertuduh.


Panjang aku tulis. Cadangnya nak buat ringkas-ringkas je. Tapi, benda-benda macam ni, tak boleh ringkas. Kena explain betul-betul supaya orang faham nature kerjaya seorang Peguam yang digelar iblis ni.


Bercerita tentang Iblis, masa Iblis lawan Tuhan tak nak sujud pada Nabi Adam, Tuhan bagi peluang kat Iblis membela diri dan bernegosiasi. Bukti dan saksi semua dah cukup. Tinggal nak hukum je. Tapi Tuhan tetap bagi ruang Iblis untok bela diri.


Iblis pun ada ruang bela diri, takkan manusia takda?


Kredit: Mufarwa Farid seorang Peguam, penceramah motivasi sekolah, usahawan dan penulis buku Nubook Press

Post a Comment

0 Comments