"Pak cik saya sedang tenat dan keluarga dia dah lebih 10 tahun tidak ziarah dia dekat Hospital Tanjung Rambutan. Dia duduk di hospital itu sejak 40 tahun lalu selepas disahkan mengalami masalah mental, bipolar. Tapi tidak teruk sangat kerana dia masih boleh menguruskan diri.
"Saya sudah cuba cari keluarga dan anak-anaknya tapi kami gagal hubungi. Kali terakhir saya rayu anak-anak dia tengok 10 tahun lepas. Ada sekali datang tapi lepas tu hilang lagi," kata pelakon Raja Ilya yang bimbang dengan keadaan kesihatan bapa saudara iaitu Abdul Rahman Yunus yang kini tenat, dek kerana itu dia memohon anak-anak pakciknya datang menziarahi ayah mereka sebelum terlambat.
Menurut Ilya, bapa saudaranya yang kini berusia 70 tahun tinggal bersendirian lebih 40 tahun di Hospital Tanjung Rambutan, Ipoh selepas disahkan mengalami masalah bipolar.
Raja Ilya yang kini menetap di Australia berkata, dia dihubungi oleh ibunya bagi memaklumkan perkara itu. Dia juga berharap dua orang anak bapa saudaranya itu sempat datang menziarahi ayah mereka sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhir.
"Keadaan kesihatan pakcik saya merosot dan paras oksigen menurun kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Selama ini memang keluarga saya dan keluarga belah kami sahaja yang ada untuk dia. Saya cuma harap anak-anak dia sempat datang tengok ayah kandung mereka buat kali terakhir," ujarnya.
0 Comments