IPOH: Polis mendedahkan adik kepada kanak-kanak perempuan yang maut disyaki didera oleh ibu saudara dan suaminya semalam, dipercayai turut menjadi mangsa dera.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kanak-kanak berusia enam tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini.
Beliau berkata, terdapat kesan kecederaan fizikal lama dan baharu pada mangsa dipercayai akibat didera.
Difahamkan, mangsa diselamatkan dari sebuah rumah di Desa Pengkalan Bandaraya di sini, pada malam tadi.
"Kita mengesahkan ada kesan kecederaan fizikal lama dan baharu pada mangsa disyaki didera oleh suspek sama yang mendera kanak-kanak berusia lapan tahun iaitu kakak mangsa hingga mati," katanya hari ini.
Media melaporkan, suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki didera, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.
Pasangan masing-masing berusia 40 tahun yang juga ibu dan bapa saudara mangsa itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Media melaporkan, suami isteri itu ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak saudara mereka disyaki didera.
Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada jam 3.14 pagi.
Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi.
0 Comments