Mengikut info terkini daripada kami, Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka bakal ditutup selepas setahun beroperasi di lokasi berkenaan. Difahamkan, penutupan Malakat Mall adalah disebabkan kos sewa yang terlalu tinggi serta pemilik bangunan tersebut, Mara Inc ingin mengambil kembali premis milik mereka.
Penutupan Malakat Mall menjadi bahan bual netizen kerana mengaitkannya dengan sentimen kempen BMF (Buy Muslim First). Seorang pengguna Facebook bernama Norman Radzuan telah berkongsi solusi yang mungkin sesuai untuk pihak Malakat Mall pertimbangkan. Jom kita baca.
Simpati penutupan Malakat Mall di Masjid Tanah.
KEMPEN BMF TIDAK SESUAI UNTUK PERNIAGAAN
Saya baru membaca berita kisah pasaraya Malakat Mall di Masjid Tanah ditutup kerana kos sewaan yang terlalu mahal iaitu RM70k sebulan. Saya bersimpati dengan berita ini kerana ada formula dari pemilik syarikat ini yang boleh dibanggakan.
Malakat Mall Masjid Tanah |
Rasa segan ingin menasihati Coach Fadzil kerana saya bukan peniaga yang hebat sepertinya. Begitu juga bukan berjaya seperti Datuk Vida tetapi saya sekadar ingin memberi pandangan sebagai pengguna. Jika rasa baik harap boleh menerimanya dan jika sebaliknya abaikan sahaja.
Saya puji niat Coach Fadzil untuk membantu peniaga-peniaga kecil atau produk-produk Melayu (Islam) termasuk dengan konsep pelaburan. Niat atau formula tersebut wajar dipuji dan disokong.
Malangnya faktor-fakto lain yang telah merencatkan perniagaan Malakat Mall dari pengamatan saya.
Pertama, saya berpandangan kesilapan terbesar ketika kempen awal kemunculan Mall ini apabila marketing mereka dikaitkan ke arah BMF (Buy Muslim First). Bagi saya ia tidak sesuai dan hanya mengecilkan sasaran pelanggan Mall ini.
Bukan sahaja ia mengecilkan pelanggan daripada pelbagai bangsa seperti Cina, India dan kaum-kaum lain tetapi kelompok Melayu yang dingin dengan kempen BMF. Ini kerana ketika kempen BMF dilancarkan, ada orang-orang politik mengambil kesempatan ke atas kempen tersebut untuk tujuan politik hingga menjadi bahan sindiran, kek pun di beli di Secret Recipe.
Akhirnya Malakat Mall menjadi mangsa keadaan. Tanya saya, BMF ini kempen yang hanya memakan diri sendiri.
Ini kerana berdasarkan senario politik, 30% orang Melayu tidak suka dengan sentimen berbau perkauman.
Lihat gerak kerja hypermarket yang lain
Tanya saya buat sahaja konsep seperti Mydin, terbuka untuk semua dengan jualan harga yang murah. Akhirnya bukan sahaja pelanggan tetapi peniaga-peniaga bangsa lain tidak mahu menyewa di ruang Mall tersebut.
Kedua, bila saya bertanya kepada rakan-rakan di KL, mereka beritahu Malakat Mall gagal bersaing dari segi harga. Harga adalah sangat penting bila kita membuka perniagaan Hypermarket. Marketing terbaik adalah free marketing dari mulut ke mulut bila orang ramai bercerita HARGA MURAH.
Saya beri contoh kejayaan Speedmart. Kempen Malakat Mall ‘Buy Muslim First’ tapi kempen Speedmart ‘Murah dan Dekat’. Nampak cara marketing siapa yang jauh lebih bijak? Mereka tidak sasarkan kawasan-kawasan Cina sahaja tetapi di mana-mana kita akan jumpa mini market ini.
Ya, harganya yang murah adalah tarikan utama tetapi bukan semuanya murah. Rempah Kari Babas di pasaraya lain dijual dengan harga RM5 tetapi di Speedmart dijual hanya RM4.30. Jauh bezanya yang menjadi buah mulut orang ramai Speedmart murah.
Dekat sini kita kena belajar bagaimana orang Cina berniaga. Orang Cina ada mendidik anak-anak mereka buy Chinese first di rumah tetapi bukan secara terbuka dalam perniagaan. Mereka tak perlu kempen beli barangan Cina dulu tetapi ia telah diselami dari kecil.
Peniaga Cina tahu orang Melayu adalah kuasa membeli terbesar bukan sahaja kerana kaum majoriti tetapi jika waktu perayaan orang Melayu terkenal sikap boros berbelanja membeli pakaian sebagai contoh.
Sebab itulah macam di Sabah banyak peniaga kedai makan menggunakan pekerja Muslim bertudung sebagai tarikan kepada pelanggan Islam. Begitulah juga tauke Cina sanggup menggunakan nama Rosyam Mart sebagai satu bentuk marketing.
Sebenarnya banyak lagi peniaga-peniaga Cina yang menggunakan kaedah meletakkan individu Melayu yang seolah- olah pemilik perniagaan tersebut. Hebatkan strategi perniagaan mereka mencari jalan menarik pelanggan?
David Teo pemilik syarikat filem Metrowealth sangat bijak menjaga hati orang Melayu. Dalam majlis promosi filem dia pasti akan membuat majlis kesyukuran dengan menjemput Ustaz membaca doa selamat.
Niat BMF itu baik tetapi bukan Malakat Mall yang memikul tanggungjawab itu. Kesedaran itu patut dipikul oleh NGO-NGO sahaja untuk diamalkan oleh orang-orang Melayu di rumah dan bukan untuk marketing perniagaan.
Apa Malakat Mall boleh belajar
Jadi, untuk saya, BMF dan daya saing harga barang perlu diambil perhatian. Malakat Mall juga wajar tukar konsep dgn menyewa 2 lot kedai kerana kos dan risikonya lebih kecil.
Bila sewa dan penggunaan kakitangan yang sedikit, Malakat Mall boleh bermain dengan harga bagi bersaing dengan pasaraya-pasaraya yang tumbuh bak cendawan. Biar kecil tapi ada di mana-mana.
Sekadar beri pandangan. Malakat Mall boleh juga belajar konsep seperti mana kedai-kedai runcit di Sabah yang dikuasai oleh peruncit Pakistan. Saya tidak tahu modus operandi mereka sebenar, tetapi saya agak-agak sahaja mereka ini mempunyai persatuan ygan membekal produk barangan-barangan runcit.
Harga mereka agak sedikit mahal tapi ada di mana-mana. Contohnya di Kampung Likas sahaja tak kurang 20 kedai runcit Pakistan ada di situ. Tiada yang tutup perniagaan sejak 12 tahun saya di Sabah, semua boleh survive.
Mengapa tidak Malakat Mall bertindak menjadi pemborong bekalan barangan runcit untuk peniaga-peniaga kecil di kawasan-kawasan kampung? Dapat membantu dan dapat berniaga dengan peniaga-peniaga kecil Melayu dengan memberi modal barangan dahulu dan mereka menjalankan perniagaan.
Sekadar pandangan kepada mereka yang baru ingin menceburi bidang perniagaan. Dalam perniagaan jangan sesekali dikaitkan dengan perkauman. Kedua, jika terlibat dalam politik jangan pamerkan perniagaan kita kerana ia akn memberi kesan ke atas perniagaan tersebut (ini amalan saya sendiri).
Dalam perniagaan tidak boleh dikaitkan dengan perkauman dan politik kecuali jika berniaga agama, apa kata anda?
Sumber: Norman Radzuan
0 Comments