Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam. |
Dalam kejadian jam 3.50 petang Jumaat lalu, suspek berusia 69 tahun, yang juga jiran mangsa dan seorang gembala lembu cuba melakukan perbuatan tersebut selepas memanggil mangsa melalui tingkap rumah, sebelum kanak-kanak itu diminta ke bahagian dapur.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, suspek dikatakan masuk ke rumah mangsa dan membuka seluar kanak-kanak tersebut.
“Ketika itu mangsa dikatakan tinggal bersama adiknya yang berusia setahun. Secara kebetulan, dua abang mangsa pulang ke rumah dan melihat suspek yang dalam keadaan separuh bogel duduk berhadapan dengan adik mereka.
"Suspek kemudiannya bangun dan terus keluar sebaik sahaja menyedari kehadiran abang-abang mangsa,” katanya.
Menurutnya, ibu mangsa, seorang suri rumah yang tidak berada di tempat kejadian ketika itu bergegas pulang setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis.
Manakala mangsa pula telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Kita telah menahan suspek beberapa jam kemudian semasa dia datang ke Balai Polis Gunong, Bachok. Dia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.
Dalam pada itu, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini semalam menaiki sebuah van polis kira-kira jam 10 pagi.
Ketika ditahan kira-kira jam 8 malam, suspek difahamkan tidak menggunakan sebarang alat bantuan, namun beliau dilihat menggunakan tongkat ketika masuk ke bilik reman semalam.
Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rosli Ahmad.
Didakwa melakukan kelucahan melampau
Kota Bharu: Seorang pengembala lembu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, terhadap pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas budak perempuan berusia 10 tahun, Sabtu lalu.
Tertuduh, Ismail Mat Adam, 68, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kelucahan melampau ke atas kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kampung Belukar Muda, Gunong, Bachok, pada 3.30 petang.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ainun Zafirah Abd Halim tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan rumah tertuduh dan mangsa yang berdekatan serta mangsa masih di bawah umur.
Namun, tertuduh diwakili peguam bantuan guaman memohon jaminan diberikan mengambil kira dirinya yang uzur dan berpenyakit.
Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
0 Comments