Johor Bahru: Sebuah kedai makan di sini diarahkan ditutup berikutan pelanggan mengalami keracunan makanan selepas memakan sandwich yang dijual di premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata ia susulan aduan pengguna yang mengalami cirit-birit dan disahkan mengalami keracunan makanan selepas memakan hidangan di kedai itu.
"Susulan aduan berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) membuat siasatan di kedai berkenaan dan mendapati tahap kebersihan kedai itu adalah tidak memuaskan.
"Arahan penutupan premis serta tiga notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan atas kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).
"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru masih melakukan pengesanan kes keracunan makanan secara aktif yang berkaitan kejadian ini dari fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan.
"Di antaranya adalah memilih kedai makan dengan tahap kebersihan adalah memuaskan. Amalkan Lihat, Hidu, Rasa sebelum makan untuk elakkan keracunan makanan.
"Mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit birit hendaklah mendapatkan rawatan segera," katanya.
0 Comments