Kuala Lumpur: Biarpun mempunyai wang yang hanya cukup untuk membeli tiket bas dari Kedah ke Kuala Lumpur, seorang wanita sanggup mengambil risiko ke ibu negara kelmarin semata-mata mahu membuat laporan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana tidak tahan diganggu along.
Semuanya gara-gara kesukaran hidup dihadapinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini yang menyebabkan perniagaan kuih secara kecil-kecilan mengalami masalah.
Kesempitan hidup menyebabkan Syaza, 40-an, mengambil keputusan untuk membuat pinjaman dengan pemberi pinjam wang 'berlesen' yang dihubungi selepas melihat iklan di Facebook.
"Baru-baru ini saya berdepan kesukaran hidup yang tidak pernah saya bayangkan.
"Sebelum ini saya memperoleh pendapatan kira-kira RM60 sehari hasil jualan kuih di beberapa kilang di Kedah. Selepas itu hidup saya diganggu dan along turut datang mengugut sehingga di rumah.
"Kerana terlalu bimbangkan keselamatan anak-anak, saya nekad beli tiket bas, datang ke Kuala Lumpur untuk meminta bantuan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, kerana saya sudah tertekan," katanya ketika ditemui.
Sebaik tiba di ibu negara, dia terus ke pejabat PPIM di Keramat Hujung dan kemudian menemui Nadzim di pejabat Ketua Aktivis.
Sambil menahan kesedihan, Syaza berkongsi kisahnya yang terpaksa menggunakan wang yang ada dalam simpanan untuk membeli tiket bas ke ibu negara hanya kerana bimbangkan keselamatannya dan mahu meminta perlindungan.
Sementara itu Nadzim berkata, pihaknya akan membantu Syaza menyelesaikan kes berkenaan dengan mengambil kira jumlah yang diperoleh daripada pinjaman itu.
"Kita dimaklumkan pinjaman yang diluluskan tak sampai RM1,000 namun along terus mendesak untuk peminjam ini melunaskan hutang walaupun ada yang sudah dijelaskan.
"Semakan kita mendapati, ada lebih daripada lima orang along terbabit dan rangkaian ini berselindung di sebalik nama kredit komuniti dan aktif mengiklankan tawaran mereka di Facebook," katanya.
0 Comments