Alor Setar: Bagi memenuhi permintaan isteri yang hamil, Wan Mohd Nabil Wan Othman sanggup memandu sejauh 440 kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Bukit Payong, Pokok Sena, di sini bagi membawa suri hatinya itu makan nasi ayam di sebuah kedai dekat Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Kisah itu tular di laman sosial selepas Wan Mohd Nabil, 35, memuat naik video isterinya, Hazwani Ghazali, 35, berselera menikmati nasi ayam di TikTok, kelmarin.
@nabilothmancwl bila wife hang teringin nasi ayam time study, hang sanggup redah AS➡️ SHAH ALAM 440km 😉😍 #fypシ #pimanabil ♬ suara asli - 🤎𝓭𝓭_𝓮𝓷𝔂〽️
Bercerita lanjut, Wan Mohd Nabil yang menjalankan perniagaan logistik berkata, sudah beberapa kali isterinya menyatakan keinginan untuk makan nasi ayam berkenaan.
"Saya juga ada beberapa kali ke Kuala Lumpur kerana tugasan namun tidak sempat beli dan membawa pulang untuk isteri.
"Mengenangkan keadaannya yang kini hamil empat bulan saya nekad tunaikan apa yang diidamkan dengan membawanya makan nasi ayam di kedai itu Jumaat lalu.
"Kami bertolak dari rumah bersama dua anak pada 8.30 pagi dan tiba di Shah Alam jam 3.30 petang. Mujurlah kedai itu masih dibuka walaupun 'roller shutternya' buka separuh ketika kami sampai," ketika dihubungi.
Menurut Wan Mohd Nabil, nasi ayam itu adalah makanan kegemaran isterinya sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkannya dan isteri tiada peluang ke ibu kota sekali gus singgah di kedai nasi ayam berkenaan.
"Risau juga jika kedai itu sudah tutup namun masih dibuka jadi rezeki isteri dan anak dalam kandungannya.
"Selain makan di kedai, isteri juga membungkus nasi berkenaan untuk dibawa pulang.
"Bagaimanapun, kami tidak pulang ke rumah hari yang sama sebaliknya menginap di sebuah tempat penginapan dekat Setia Alam dan sempat membawa anak berjalan di sekitar ibu kota sebelum bertolak balik jam 2.30 petang semalam," katanya.
Wan Mohd Nabil berkata, dia merakam video isterinya ketika makan sekadar untuk suka-suka berkongsi momen berkenaan di TikTok.
"Tak sangka pula video itu akan tular. Alhamdulillah, ramai beri kata positif dan doakan lebih-lebih lagi apabila tahu isteri saya mengandung," katanya.
0 Comments