Tendang Isteri Dalam Pantang

Tendang Isteri Dalam Pantang

 


Kuantan: Hatinya tidak ubah seperti binatang apabila sanggup menendang seorang wanita dipercayai isterinya yang masih berpantang selepas melahirkan anak kedua dalam kejadian di sebuah premis dobi layan diri di Jalan Wong Ah Jang, di sini.



Perbuatan dayus lelaki itu bagaimanapun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum dimuat naik ke Facebook (FB) dan menjadi viral sejak kelmarin.



Video berdurasi kira-kira seminit itu mendapat kecaman dan kutukan netizen terutama kaum wanita yang menganggap tindakan lelaki itu tidak berperikemanusiaan dan ganas.



Dalam kejadian dipercayai berlaku antara jam 4 hingga jam 5 petang itu, difahamkan suspek berusia lingkungan 30 tahun bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dengan isterinya.



Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila suami mangsa yang berada di depan premis membaling bakul plastik ke arahnya sebelum masuk dan menendang pinggang wanita berkenaan hingga mengakibatkan lelaki itu turut terjatuh kerana terpijak baju di atas lantai.



Selepas perbuatan kejam lelaki itu, anak mangsa datang memeluk ibunya yang sedang menahan kesakitan di bahagian pinggang.



Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis sudah bertemu dengan wanita berusia lingkungan 20-an itu dan mengambil keterangan daripadanya untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.



“Saya sudah tonton video yang berdurasi selama seminit itu dan melihat sendiri bagaimana kejadian itu berlaku, namun mangsa enggan membuat laporan kerana tidak mahu polis mengambil tindakan terhadap suaminya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.



Beliau berkata, polis tidak dapat memastikan punca kejadian itu dan akan merujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan suami mangsa mendapat hukuman atas perbuatan dilakukan.


Kes suami tendang isteri dirujuk ke JAIP




Kuantan: Kes suami menendang isteri masih dalam pantang di sebuah kedai dobi di sini, yang rakaman video menjadi viral di laman sosial, akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).



Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, tindakan itu diambil selepas wanita berusia 25 tahun berkenaan, enggan membuat laporan polis walaupun selepas dinasihat berbuat demikian Isnin lalu.



"Wanita itu tidak mahu suaminya yang berusia 29 tahun, seorang buruh, dikenakan tindakan. Oleh itu, kita serahkan kepada JAIP supaya tindakan seperti kaunseling dapat dilakukan.



"Kita tidak mahu masyarakat menganggap polis tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu walaupun video kejadian diviralkan di laman sosial Facebook," katanya pada sidang media di sini, hari ini.



Abdul Aziz juga mengesahkan wanita itu yang berasal dari Kuantan tidak pernah membuat laporan polis terhadap suaminya manakala pemilik kedai dobi di Jalan Mat Kilau di sini, membuat laporan polis semalam, bagi menafikan beliau individu yang menyebarkan video selama seminit itu.



"Pemilik kedai dobi menyatakan beliau menyedari kejadian ketika menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama rakan. Anak saudara rakannya yang ada bersama menyebarkan video itu," katanya.



Menurutnya, polis bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.



Rakaman yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini menunjukkan suami mangsa yang berada di depan kedai itu membaling bakul plastik ke arah isterinya sebelum masuk dan menendang pinggang wanita yang baru melahirkan anak kedua.



Lelaki itu bagaimanapun turut jatuh kerana terpijak baju di atas lantai.



Video itu turut menunjukkan anak sulung mangsa yang masih kecil menuju ke arah ibunya dan memeluk wanita berkenaan yang menahan kesakitan di bahagian punggung.


Sumber: Mymetro

Post a Comment

0 Comments