Farrah Emirah Meninggal Dunia Dalam Keadaan Tragis

Farrah Emirah Meninggal Dunia Dalam Keadaan Tragis

 


Pasir Mas - Seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di bahagian perut dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek di sini pada Sabtu.


Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.


Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang di parkir di tepi jalan.


"Hasil temubual dengan saksi awam mendapati kereta yang dinaiki mangsa sudah berada di tepi jalan sejak petang Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.



Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta menjumpai satu kelongsong peluru di bahagian kaki tempat duduk penumpang di belakang sebelah pemandu.


Beliau berkata, semakan awal mendapati kereta tersebut didaftarkan di atas nama mangsa.


Muhamad Zaki berkata, hasil temubual dengan ibu mangsa memberitahu wanita berkenaan hamil tujuh bulan.


"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat.


"Susulan itu, seorang buruh berusia 40 tahun ditahan pada Sabtu jam 11.25 malam bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Nenek terkejut cucu pergi dalam keadaan tragis!

Pasir Mas - Wanita hamil tujuh bulan, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang maut ditembak di perut pada Sabtu merupakan ibu tunggal tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.


Nenek mangsa, Zawiyah Sulong, 68, berkata, sejak berpisah dengan suami pada Februari lalu ketiga-tiga anak mereka dijaga oleh Farrah Emirah.


"Sehingga sekarang saya masih terkejut dengan apa yang berlaku kerana saya menjaga Farrah Emirah dia masih bayi lagi.


"Lebih memeritkan lagi apabila terkenangkan cicit yang masih kecil dan mereka belum mengetahui ibu sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas pada Sabtu.


Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Farrah Emirah pada Jumaat malam, sebelum cucunya itu keluar dari rumah untuk berurut.


Katanya, arwah sempat meminta kain batik sarung selain tertinggal kunci kereta sebelum berpatah balik ke dalam rumah untuk mengambilnya.


Zawiyah berkata, dia mula bimbang keadaan Farrah Emirah apabila cucunya tidak pulang selepas jam 10.30 malam Jumaat.


"Saya beberapa kali membuat panggilan telefon namun dia gagal dihubungi.


"Sehinggalah pada esoknya (Sabtu) saya bawa ketiga-tiga cicit menaiki kereta bersama anak ke beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mencari Farrah Emirah tetapi gagal," katanya.


Menurutnya, pada jam 4.30 petang ada penduduk datang ke rumah di Bukit Lata, Rantau Panjang memberitahu arwah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di Kampung Teresek, Repek.


Dia terus bergegas ke lokasi dan luluh hatinya apabila melihat Farrah Emirah sudah tiada dan bahagian perut dipenuhi darah.


Katanya, sebelum kejadian itu Farrah Emirah ada membuat pemeriksaan kandungan dan gembira memaklumkan yang dia sedang mengandung bayi lelaki.


Zawiyah berkata, pemergian cucunya itu sangat tragis dan berharap pihak berkuasa dapat mencari pelaku yang sanggup melakukan sedemikian kepada cucunya yang sedang sarat mengandung.


"Selepas urusan bedah siasat siap dijalankan, jenazah akan dikebumikan di kampung sebelah ibunya di Chenerai, Chetok," katanya.

Post a Comment

0 Comments