Baling: Jasad tiga beranak dalam sebuah Proton Persona yang terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, petang semalam ditemukan lemas.
Mashitoh Ibrahim, 37, guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong itu ditemui bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, itu ditemukan 3.32 pagi di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan.
Proton Persona itu ditarik dari dasar pada kedalaman hampir lima meter dengan bantuan kren sebelum jasad ketiga-tiga mangsa ditemukan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan Baling sejurus menerima panggilan, jam 6.42 petang.
Beliau berkata, pada 11 malam tadi, bomba berjaya mengesan lokasi kedudukan kereta Proton Persona berkenaan di dasar sungai berkenaan.
"Anggota kami melakukan penandaan di lokasi yang dikenal pasti dan selepas itu, anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman mengesahkan kenderaan itu di lokasi kejadian.
"Proses untuk menaikkan kenderaan itu dilakukan bermula 11.30 malam sehingga 3.30 pagi tadi dan kereta itu berjaya dibawa naik di atas jambatan.
"Ketiga-tiga beranak itu ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu dan berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian awal pagi tadi.
Syufaat berkata, jasad pertama yang berjaya dikeluarkan adalah si ibu pada jam 3.32 pagi disusuli dua anaknya selang dua minit kemudian.
Difahamkan, jasad tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.
Sumber Berita : Harian Metro
Gambar : Media Sosial
0 Comments