Sungai Petani: Seorang pelajar lelaki tingkatan satu sanggup mencederakan rakan sepermainan berusia 11 tahun dan mengugut dengan pisau hanya kerana kemahuannya melakukan amang seksual tidak dituruti.
Kejadian di sebuah taman perumahan di Gurun, di sini kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin, mengakibatkan pipi kanan mangsa yang juga murid lelaki sebuah sekolah lebam akibat ditampar dan dipukul suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek berumur 13 tahun sebelum itu membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandunya ke sebuah kedai di taman perumahan itu.
“Semasa di dalam kereta, murid tahun empat itu diarah membuka seluar suspek dan menghisap kemaluannya tetapi mangsa enggan menyebabkan dia ditampar dan dipukul.
“Suspek kemudian membawa rakannya itu ke rumahnya dan mengarahkan mangsa sekali lagi menghisap kemaluannya namun arahan itu enggan diikuti mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kata Zaidy, berang permintaan tidak dipenuhi, suspek kemudian mencekik leher mangsa dan mencederakannya dengan sebilah pisau menyebabkan dia takut dan berlari pulang memberitahu bapanya.
“Bapa mangsa membuat laporan kejadian di Balai Polis Gurun selepas itu dan pada pukul 7.19 malam hari sama, suspek ditahan di rumahnya.
“Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
Menurut Zaidy, mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut.
Sumber:Utusan
0 Comments