Gerik: Identiti individu yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, di sini semalam sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka sekeluarga yang dikenali Ahmad Khomaini Baba, 32; isterinya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; dan anak mereka, Zara Hana, 6.
Turut maut, bapa Siti Aishah, Mohd Rodhi Othman, 64; dan ibunya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
"Akibatnya, kenderaan itu melanggar Perodua Alza dinaiki semua mangsa mengakibatkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah, manakala pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami cedera serta dirawat di Hospital Jeli," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat lima mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik di sini untuk bedah siasat dan akan dihantar ke Sungai Petani, Kedah untuk pengebumian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 Comments