Rakaman video tular ketika murid menyeberang Sungai Biah dengan meniti saluran paip di Kampung Mansiang Baru, Keningau. Gambar kecil: Kamlee |
Keningau - Biarpun terpaksa 'merelakan' anak-anak menyeberang sungai yang deras dengan meniti saluran paip namun itu adalah pilihan terakhir untuk mereka pulang ke rumah walaupun berhadapan dengan bahaya.
Itu situasi yang terpaksa dihadapi oleh penduduk kampung terutama murid dan pelajar yang berulang alik menyeberang Sungai Biah, di Kampung Mansiang Baru, di sini, jika paras air meningkat menyebabkan mereka tiada pilihan untuk menggunakan saluran paip sebagai jalan penghubung.
Situasi yang dihadapi penduduk kampung berkenaan sempat dirakam sebelum tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan beberapa murid sekolah terpaksa menyeberangi sungai dengan meniti saluran paip yang dilihat tidak selamat untuk mereka.
Penduduk yang ditemui, Kamlee Wong, 39, mengakui keadaan itu amat membimbangkan terutamanya keselamatan anak-anak ketika mereka dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah.
"Jika tidak hujan, kami masih boleh melalui jambatan aras rendah (low level crossing) tetapi apabila hujan berterusan, air sungai semakin deras dan paras meningkat sehingga hampir tiga meter," katanya kepada pemberita di Kampung Mansiang Baru pada Jumaat.
Bercerita lanjut mengenai kejadian yang tular itu, Kamlee berkata, dua anaknya antara yang sedang meniti saluran paip berkenaan berikutan paras air sungai meningkat ketika itu.
Suhainin menyeberang Sungai Biah menggunakan jambatan aras rendah ketika mengambil anaknya pulang dari sekolah di Kampung Mansiang Baru, Keningau. |
"Apa yang berlaku ketika itu (video yang tular), paras air sungai naik disebabkan berlaku kejadian kepala air secara tiba-tiba dan dua anak saya terpaksa guna saluran paip itu kerana hari semakin gelap.
"Jika tidak, anak-anak saya terpaksa menunggu paras air sungai surut selama beberapa jam dan menyebabkan mereka terpaksa bermalam di seberang," katanya.
Kamlee mengakui, keadaan itu menyebabkan penduduk sudah tidak tahan bukan sahaja tentang isu keselamatan tetapi turut menyebabkan sesi persekolahan mereka terganggu.
"Anak-anak tidak pernah rasa berat hati untuk ke sekolah walaupun terpaksa melalui saluran paip itu tetapi kami sebagai bapa sangat bimbang dengan keadaan ini kerana ia melibatkan nyawa.
"Lagi pun, keadaan ini juga mengganggu sesi persekolahan mereka apabila dalam sebulan sekurang-kurangnya lima hari anak kami tidak dapat hadir ke sekolah kerana sungai itu langsung tidak boleh dilalui.
"Malah, setiap kali waktu hujan ketika hari persekolahan, saya mulai gelisah kerana bimbang empat anak saya tidak dapat menyeberang sungai untuk pulang ke rumah sehingga menyebabkan kami terkandas sehingga malam sementara menunggu air surut," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suhainin Lait, 30, berkata, mereka terpaksa menggunakan saluran paip sebagai jalan penghubung untuk menyeberang sungai berkenaan untuk berulang alik jika paras air sungai naik.
"Saluran paip itu dibina sejak dua tahun lalu dan sejak itu kami menggunakannya sebagai laluan untuk menyeberang sungai jika paras air meningkat.
"Memang bahaya tetapi itu sahaja jalan yang kami boleh lalui, malah saya pernah mendukung anak di belakang untuk pulang ke rumah kerana jambatan tidak boleh dilalui," katanya.
Justeru, Suhainin berharap pihak berkaitan akan memberi perhatian terhadap situasi yang dialami penduduk di kampung berkenaan.
"Jambatan aras rendah itu sudah ada sejak dulu lagi tetapi bila paras air naik ia langsung tidak boleh digunakan untuk menyeberang.
"Jadi kami berharap ada jambatan lain dibuat untuk kemudahan penduduk terutama anak-anak yang bersekolah bagi memudahkan akses pergi dan balik sekolah tanpa membahayakan nyawa mereka," katanya.
Pada Selasa lalu tular satu video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan beberapa murid sekolah sedang meniti saluran paip untuk menyeberang Sungai Biah yang ketika itu kelihatan deras dan paras air meningkat hampir tiga meter.
Keadaan itu dilihat membahayakan nyawa murid berkenaan sekali gus turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
0 Comments