BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam dalam usia 76 tahun.
Saya hanya ingin mengenali beliau sebagai salah seorang anak Melayu terpintar dalam dunia ekonomi dan koporat yang pernah kita ada.
Selain Allahyarham Tan Sri Salleh Majid, arwah Khalid diakui antara teknorat yang cukup hebat dalam permainan ringgit dan angka.
Anak kampung lulusan MBA dari University of Queensland, Australia itu, sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor, juga telah berjaya mengumpulkan rizab negeri tersebut sebanyak RM3 bilion!
Malang sekali, hanya kerana enggan tunduk dengan permintaan untuk menggunakan wang kerajaan bagi tujuan politik, Khalid diasak dengan pelbagai kecaman dan fitnah hingga menyebabkan beliau tersingkir daripada kerusinya itu.
"Saya bertuah kerana tidak perlukan politik untuk kepentingan peribadi," katanya ketika itu.
Kenyataan itu memang ada kebenarannya kerana Khalid sudah kaya raya lama sebelum menyertai politik lagi.
Resumenya dalam bidang korporat memang sangat luar biasa pencapaiannya.
Mana mungkin kita lupa, sewaktu usianya baru mencecah awal 30-an, Khalid adalah antara 'arkitek' utama peristiwa 'Serangan Subuh Guthrie' pada 1981 yang menyebabkan syarikat perladangan gergasi Guthrie dimiliki Britain JATUH ke tangan Malaysia selepas sahamnya dibeli sebaik sahaja Bursa Saham London memulakan dagangan paginya.
Kepintaran Khalid mengendalikan 'serangan korporat' ini berlaku lebih kurang 3 hingga 4 jam bermula pada pagi 7 September 1981.
Seperti yang tercatat di portal The Patriot, selang beberapa hari kemudian, syarikat-syarikat British seperti M&G, The Anderson dan lain-lain terpaksa akur dengan menjual semua pegangan mereka kepada PNB. Akhirnya PNB berjaya memiliki Guthrie Corporation secara penuh.
Segala aktiviti perladangan seperti minyak sawit yang dijalankan oleh Guthrie Corporation yang sebelum ini dimiliki oleh syarikat-syarikat British akhirnya berjaya dibawa pulang dan berada dalam genggaman orang Malaysia!
Khalid memilih politik bagi untuk menaburkan khidmat baktinya pada masyarakat walaupun sektor korporat akan lebih mengkayakan dirinya, malangnya politik juga akhirnya membunuh karier anak jati dari sebuah kampung di Jeram, Selangor itu.
Di atas jasa-jasanya pada negeri dan negara, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menitah dan memperkenankan jenazah Khalid disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam hari ini.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Al-Fatihah buat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sumber: Syahril A. Kadir
0 Comments