Selamat Pengantin Baru 'Wany Hasrita'', Sama Padan, Secocok

Selamat Pengantin Baru 'Wany Hasrita'', Sama Padan, Secocok

 



Petaling Jaya: Dengan dua kali lafaz, penyanyi popular Wany Hasrita, 30, sah bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, yang berasal dari Kuching, Sarawak di Damansara Perdana, di sini, jam 9.11 malam, hari ini. 


Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa. 


Pada majlis itu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak. 


Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu berkata, dia bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buat dirinya. 


"Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi. 


"Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.  


"Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini," katanya. 


Berkongsi mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya yang juga bekerja dalam industri penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, hubungan mereka mula rapat sejak 2019. 


"Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi. Ketika itu saya mengenalinya melalui rakan baik saya yang juga sepupunya. Kenal macam tu saja. Waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi. Cuma, pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mengikuti antara satu sama lain di Instagram dan banyak berhubung di situ. Ada satu hari dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends dan saya pun boleh layan. Sejak itu, kami terus 'ngam' dan saling memahami dalam banyak perkara. 


"Tidak ada istilah 'declare' menjadi kekasih dalam perhubungan kami. Masing-masing saling memahami perasaan dan hati dan akhirnya memutuskan untuk membawa perhubungan ini ke fasa yang lebih serius," katanya. 


Menurut Wany yang juga pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 31 pada 2018, dia dan Adib memilih untuk bertunang pada 26 Februari lalu sebelum mengakhiri perhubungan mereka di jenjang pelamin hari ini. 


"Apabila sudah rapat, kami terus fikir dan rancang ke fasa seterusnya. Apatah lagi ketika itu (2019) masing-masing sudah berusia 28 tahun. Selama ini saya tidak terlalu 'looking forward' untuk berkahwin. Tapi selepas rapat, semuanya 'ngam' dan serasi dari segi semua perkara. 


"Malah, dari mula perhubungan ia bukan lagi untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin. Dia pun sama juga begitu. Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang, Selangor, yang mana hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja. 


"Kalau diikutkan perancangan nak berkahwin dibuat lebih awal, tapi disebabkan jarak kami yang mana dia bekerja di Kuching, masa dan komitmen kerjaya, jadi kami ambil keputusan untuk cari waktu paling sesuai untuk kedua-dua pihak. Ditambah pula kita sudah masuk fasa endemik, jadi kami fikir ini waktu yang tepat," katanya.


Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan media. 


Busana kedua mempelai pula mendapat sentuhan pereka Altelia Amani. Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan Ahad ini di Cheras, Kuala Lumpur.

Post a Comment

0 Comments