Sebuah perkongsian kisah benar oleh saudari Mayang Sari. Untuk pengetahuan pembaca saudari Mayang Sari dianugerahkan Allah dengan hijab terbuka. Cerita ini berdasarkan pengalamannya sendiri.
Azan Maghrib mula berkumandang di corong radio. Walaupun begitu suasana pada petang itu masih lagi cerah. Jelas kelihatan tepian Pantai Rantau Abang yang tenang.
"Kita berhenti solat di sini dulu yer. Kuala Terengganu jauh lagi ni. Nanti tak sempat nak Maghrib. Tak best lah jamak sebab ada surau di sini…" Cadang sahabat saya sambil membelok kereta ke pekarangan surau di tepi jalan tanpa mendengar persetujuan daripada saya.
"Saya 'uzur', tunggu dalam kereta jer. Awak pergi lah," bisik saya perlahan.
Sahabat saya itu tersenyum lalu melangkah keluar meninggalkan saya sendirian di kereta.
Beberapa minit kemudian sahabat saya yang saya namakan sebagai Rina itu datang kembali lalu mengetuk cermin tingkap saya.
"Kita makan dulu di warung sana. Lapar.." Rina menuding jarinya ke arah warung yang terletak di seberang jalan sana. Saya mengikut cadangan Rina memandangkan perut saya juga masih belum berisi sejak tengahari tadi.
Memandangkan masih dalam waktu maghrib dan pelanggan lain masih belum ada sangat mudah untuk kami memilih meja makan. Kami memilih meja yang berada di dalam kedai, menghadap pintu masuk bagi memastikan kereta kami berada dalam keadaan selamat kerana banyak barang berharga di dalamnya.
"Mek nok oda gapo?" Soal pelayan itu dalam loghat Kelantan.
"Panas-panas, goreng-goreng ada kak?" Soal Rina.
"Adooo… Oyak jo gapo, sumo ado." Jawabnya lembut.
Saya meletakkan beg tangan di kerusi sebelah. Mula melabuhkan punggung di kerusi batu. Panas!! Kerusi batu itu panas seperti baru lepas di duduki orang. Saya beralih duduk di kerusi yang satu lagi. Pelayan itu mula menjeling tajam ke arah saya.
"Bakpo beralih gak?" Soalnya sinis.
"Sini selesa. Boleh tengok TV.." Jawab saya berbohong. Hati saya mula berasa sesuatu.
Usai mengambil pesanan kami, pelayan itu terus ke dapur.
"Kenapa?" Soal Rina yang sudah 'masak' dengan sikap saya.
"Tak ada apa. Saja jer, tu nak tengok TV," saya memuncungkan mulut ke arah televisyen yang sedang menyala.
"Kedai ni tak orang lagi, mesti cepat dapat makan. Lapar gila dah ni.." Ujar Rina tidak sabar. Saya mengangguk perlahan sambil mata melilau mencari dimana silapnya sehingga bulu tengkuk saya boleh berdiri terpacak.
15 minit berlalu, makanan masih belum tiba. Rina berlalu untuk ke tandas, tinggalkan saya sendirian. Tiba-tiba kaki saya terasa panas. Saya yang hanya memakai 'selipar jepun' itu dapat merasakan seperti ada binatang berbulu lebat lalu di atas kaki saya. Saya terus memandang televisyen, dalam hati saya mula berzikir. Jangan lah dia muncul di hadapan mata saya.
"Lambak sikit deh, ore krijo baru date…" kata pelayan itu sambil meletakkan air di meja. Saya mengangguk sambil senyum.
Sangkaan saya meleset apabila makhluk itu mula keluar daripada bawah meja dan bertenggek di kerusi yang saya tidak jadi duduk itu tadi.
"Itu pun kau, patutlah kerusi itu panas. Tempat kau kan?" Bisik hati saya, mata tetap terus memandang televisyen supaya makhluk itu tidak menyedari bahawa saya tahu keberadaan dia.
Dia memandang saya dan mendekatkan muka hodoh dia ke cuping telinga saya. Membisikkan mentera yang saya tidak faham maksudnya. Bau hamis telur ayam busuk mula mencemar hidung saya. Saya teruskan berzikir, bertahmid dan bertakbir di dalam hati. Ayatul Qursi dan 3 qul (Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq- dan Surah An-Nas) tidak putus.
Dia yang terasa sedikit terganggu mula bertenggek di atas meja tepat di hadapan muka saya, minuman saya tadi betul-betul di bawah kelangkang dia. Hamis telur busuk betul-betul mengganggu saluran pernafasan saya. Perasaan loya mula bertamu. Saya cuba untuk tidak bertentangan mata dengannya. Sedaya upaya saya mengelak daripada memandang dia.
Matanya yang merah menyinga itu memandang saya seolah-olah saya cuba melawan dia. Lidah nya yang bercabang kehitaman itu mula terjulur untuk menjilat wajah saya. Saya cekal kan hati terus membaca surah-surah lazim yang saya hafal. Peluh dingin mula membasahi dahi dek kerana rasa mual sudah sampai ke tekak. Akhirnya Rina muncul setelah beberapa minit dia ke tandas.
"Belum sampai lagi ke makanan? Saya pergi toilet, tengok dapur dia macam tak ada orang kerja jer. Minum jer lah dulu…" Keluh Rina mungkin tidak tahan lapar.
Makhluk tersebut mula beralih tumpuan dia, dia ke sebelah Rina untuk membisikkan mentera ke telinga Rina sama seperti saya tadi. Saya segera mengajak Rina keluar daripada kedai tersebut dengan alasan servis kedai tersebut sangat lambat.
"Orang tak ada, kita dah setengah jam tunggu. Lapar nak m4mpus ni, dah loya perut saya tahan lapar. Jom cari 'fastfood' jer. McD ke, KFC ke… Jom…" Saya menarik tangan Rina membuatkan Rina tersentak lalu terlanggar gelas yang dipenuhi dengan air sirap itu lalu tumpah ke lantai. Melihat keadaan itu pekerja tersebut bingkas bangun dan mendatangi kami.
"Mek… Metaaa lah, akk baru bukok keda, ore krijo tok date lagi, tuke masok baru nok buak rencoh, duduk lah metaaa…" Rupanya pelayan itu adalah pemilik kedai tersebut.
"Tak pa lah kak. Jauh lagi kami ni, hari dah gelap. Nanti lambat sampai pulak ke Kuala Terengganu. Maaf yer kak. Kalau macam tu kami bayar jer lah makanan yang tak jadi kami makan tu sekali dengan air ni.." Rina mencelah. Ada nada marah dalam percakapan Rina.
"Dakpo lah.. Mogo tok make nok bayar gapo. Maaf lah ko tunggu lamo… Bayar duit air jer lah." Pemilik kedai itu langsung masuk ke dalam meninggalkan kami setelah selesai pembayaran. Jelas kedengaran dia meleteri pekerjanya dalam bahasa yang saya tak faham. Bahasa Siam mungkin.
Saya masuk ke dalam perut kereta. Daripada kejauhan kelihatan makhluk itu kembali bertenggek di kerusi itu sambil tangannya melambai-lambai ke udara seperti tangan patung kucing di kedai-kedai Cina yang selalu kita nampak. Setelah itu berpusu-pusu pelanggan mula memenuhi kedai tersebut.
"Adik ok tak ni?" Soal Rina sambil menghidupkan enjin kereta.
"Lapaaaarrrr…" Jawab saya pendek. Rina ketawa mengekek.
Sebelum kereta Rina meluncur keluar daripada perkarangan surau, sempat saya melihat makhluk itu pergi dari sebuah ke sebuah meja yang lain seakan membisik sesuatu ke telinga setiap pelanggan. Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala sihir dan ilmu hitam.
Benarlah, kita tidak boleh membinasakan iblis, syaitan dan jin kerana umur mereka panjang sehingga ke hari penghabisan (Kiamat). Itu janji mereka untuk menyesatkan kita umat manusia, tetapi kita boleh menjadikan Al Quran sebagai pendinding daripada syaitan, iblis dan jin laknatullah. Sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan dan iblis yang direjam.
Sumber: MayangSari🕊️
Gambar hanya sekadar hiasan
0 Comments