Masih ingat lagi pemergian pelajar Malaysia yang menuntut di Kaherah Mesir sebelum covid haritu! Nama beliau adalah Nurul Huda Binti Shulaudin
Beruntung sangat arwah Saudari Nurul Huda Mohamad Shulaidin, mahasiswi Kelantan yang meninggal dunia di Mesir pada hari Jumaat yang mulia, beliau telah dikebumikan di 'Muqattam' oleh pengurusan jenazah di sana.
Tahukah kalian apa keistimewaan perkuburan Jabal Muqattam? Para ulamak menamakan Muqattam sebagai "Baqi' Mesir". Baqi merujuk kepada perkuburan di Madinah manakala Muqattam di sebut Baqi Mesir iaitu makam di Madinah yang istimewa di hati nabi.
Bukit yang menghadap Kubu Salahuddin Al-Ayubi dikira perkuburan Islam terbesar di Mesir. Pada pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab Rodhiallahuanhu beliau memerintahkan Gabenor Amri bin Al-'As untuk menjadikan Muqattam sebagai perkuburan bagi umat Islam. Maka bersemadilah di sana beberapa jasad para sahabat nabi dan juga ratusan ulamak dan auliya Allah.
Beruntung dan berbahagianya arwah Nurul Huda dapat disemadikan berhampiran sahabat Nabi 'Amru bin Al-As, Uqbah bin 'Amir dan antara para auliya Sayyidi Ibnu 'Atoillah As-Sakandari, Al-Imam Abdullah bin Abi Jamrah, Sayyidi Ibnu Sayyidi Nas, Sayidi Zun Nun Al-Misri, Sayyidi 'Umar Al-Faridh, Sayyidi Muhammad Al-Wafa dan Sayyidi Ali Al-Wafa. Rodhiallahuanhum.
Al-Fatihah
Berita terdahulu:
Pasir Mas - Pelajar Malaysia yang menuntut di Kaherah, Mesir dilaporkan meninggal dunia akibat sesak nafas semasa dalam tempoh kuarantin di negara itu pada Jumaat.
Nurul Huda Mohamad Shulaudin, 21, yang meninggal dunia pada pukul 7.27 pagi di Hospital Rabaah, Kaherah.
Dikebumikan di Jabal Muqattam yang turut menempatkan para ulama termasuk Imam Syafie, Muhammad Abdul Baqi’ dan Imam Waqi’.
Berita kematian Nurul Huda tular dalam media sosial mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah menerusi Twitternya.
Bapa arwah, Mohamad Shulaudin Dollah, 44, berkata, dia berasa terkejut menerima berita kematian Nurul Huda pada hari Jumaat yang mulia kerana anak sulungnya baru pulang ke negara berkenaan dua hari sebelumnya dan masih dalam tempoh kuarantin.
Pelajar tahun dua Ijazah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar itu pulang bercuti ke tanah air pada Mei lalu.
“Saya mendapat berita kematian Nurul Huda pada tengah hari Jumaat. Saya terkejut kerana dia tidak pernah mengadu sakit apatah lagi sesak nafas sepanjang enam bulan berada di rumah di sini.
“Nurul Huda seorang anak yang baik. Zikir dan bacaan al-Quran tidak pernah lekang daripada bibirnya.
“Dia juga tidak pernah tinggal solat sunat Tahajud setiap malam dan ini mungkin merupakan hadiah buatnya kerana di-makam-kan bersama para ulama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Hitam.
Berita kematian Nurul Huda mendapat perhatian di media sosial apabila keperibadiannya dipuji sehingga ramai pelajar Malaysia di universiti berkenaan turut bersama membantu menguruskan jenazahnya.
Nurul Huda dipercayai pelajar Malaysia pertama yang dimakamkan di Jabal Muqattam.
Sementara itu, ibunya, Zawiah Hassan, 41, berkata, meskipun sedih dengan pemergian anaknya, dia tetap redha dengan ketentuan Ilahi dan sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah.
Wanita itu turut mendapat tahu Nurul Huda menyimpan wang untuk membawanya dan suami ke Universiti Al-Azhar pada hari graduasinya pada tahun 2022.
“Saya tidak menyangka dia sanggup mengumpul wang untuk membawa kami ke sana.
“Sekiranya ada peluang dan kesempatan, saya mahu menziarah kuburnya di Jabal Muqattam suatu hari nanti. Itu adalah hajat kami sekeluarga,” katanya.
Nurul Huda turut aktif dalam bidang penulisan dan memenangi tempat ketiga Pertandingan Menulis Cerpen bertemakan Lockdown anjuran Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional.
Arwah turut memasang impian untuk menerbitkan buku berbentuk agama dan motivasi pada masa akan datang.
0 Comments