Melaka: Gara-gara mengabaikan tiga anak kandungnya tanpa jagaan selama empat bulan, seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan.
Masanizah Roslan, 40, yang kini sedang hamil bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahajasemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.
Tindakan itu mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 23 Mei 2021 sehingga 25 September 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan sedang hamil tiga bulan dan masih perlu menanggung tiga anaknya dengan gaji bulanan yang kecil.
Difahamkan, ketiga-tiga anak tersebut merupakan hasil perkahwinan pertamanya dan kesemua mereka kini dijaga oleh ibu saudara kepada bekas suami.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September depan bagi serahan dokumen.
0 Comments