Petaling Jaya: Segelintir pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang simpanannya pada tahap kritikal bimbang dengan nasib mereka apabila bersara tidak lama lagi.
Kami menemu bual beberapa pekerja yang akan bersara dalam masa lima hingga 10 tahun lagi, yang gusar dengan keadaan itu dan mungkin terpaksa kembali bekerja atau berniaga bagi menampung kehidupan.
Pemandu lori, Saffri Kamaruddin, 50, mengakui simpanannya dalam KWSP tidak cukup untuk menampung kehidupan selepas bersara memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Justeru, Saffri merancang menggunakan simpanan dalam caruman pekerja itu sebagai modal mengusahakan perniagaan.
“Mungkin dengan modal perniagaan itu, saya mampu tambah wang untuk menyara anak-anak yang masih belajar,” katanya.
Bagi pekerja kilang yang dikenali sebagai Krishnan, 55, beliau mengambil langkah menambah caruman KWSP untuk memastikan simpanannya mencukupi sebelum melangkah ke alam persaraan dalam tempoh lima tahun lagi.
“Jika tidak (cukup) saya perlu bekerja selepas bersara, mungkin sebagai pengawal keselamatan bagi menampung keluarga saya,” katanya.
Seorang konsultan di sebuah sekolah penerbangan, Zulfadli Halim, 50, pula berkata, peningkatan mendadak kos sara hidup pada masa kini menyukarkannya menambah caruman untuk kegunaan hari tua.
“Namun, saya bayangkan pengurusan simpanan KWSP lebih mudah kerana setakat ini saya tidak pernah mengeluarkan wang tersebut,” katanya.
Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah pada sidang Dewan Negara 9 Ogos mendedahkan seramai 3.2 juta ahli KWSP berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan pada tahap yang amat kritikal, iaitu kurang RM1,000.
Seramai 6.62 juta, atau 52% daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun pula mempunyai simpanan kurang RM10,000.
Perkembangan itu susulan kebenaran pengeluaran simpanan KWSP berjumlah RM155 bilion ketika penularan Covid-19.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim, iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan terakhir, pengeluaran khas RM10,000 pada Mac lepas.
0 Comments