TUMPAT – Kampung Palekbang di sini tiba-tiba menjadi tumpuan apabila tersebar cerita penemuan terowong peninggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di laman sosial, di blog dan cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu ini.
Kewujudannya terus menjadi teka-teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat bekas kubu tentera Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi, yang kini dalam kajian pembangunan ekosejarah selia Kerajaan Negeri Kelantan.
Beberapa hari lalu kelihatan anggota polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.
Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih menjadi persoalan hingga kini.
Tinjauan orang awam di lokasi tersebut mendapati kawasan tersebut sedang giat dibersihkan dan kelihatan beberapa telaga ditemui, didakwa sebagai lubang untuk turun ke bawah tanah.
Turut juga kelihatan binaan lama yang sudah ditenggelami tanah dibersihkan serta beberapa kawasan yang sudah dikawal oleh pihak keselamatan.
Seorang penduduk tetap Kampung Palekbang, Zakaria Abdul Kadir, 74, berkata, cerita kewujudan terowong bawah tanah ini adalah cerita karut yang sengaja digembar-gemburkan.
“Memang tidak wujud terowong bawah tanah, itu semua cerita karut, tidak ada stor bom atau pun senjata api di sini,” katanya.
Menurutnya, telaga yang ditemui di kawasan tersebut adalah tempat simpanan air untuk kegunaan kereta api dan bukannya terowong untuk turun ke bawah tanah.
Zakaria berkata, lokasi tersebut asalnya pelabuhan dan stesen kereta api yang tersohor menjadi nadi penghubung rakyat Kelantan untuk ke Kota Bharu serta sebagai pusat perdagangan.
Menurutnya, Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan.
Bagaimanapun kewujudan kampung itu disenaraikan dalam rekod setelah kerajaan Inggeris membina landasan kereta api pada pertengahan 1920.
“Palekbang adalah kampung yang termaju sekali dalam Kelantan pada masa itu apabila muncul sebagai pusat perdagangan dan pekan transit dari luar Kelantan ke Kota Bharu serta tempat-tempat lain.
“Dengan kemudahan pengangkutan yang maju dan kedudukan yang strategik, Kampung Palekbang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pengedaran sama ada dengan kereta api atau feri yang merentasi Sungai Kelantan,” katanya.
Zakaria berkata, pada masa itu, Kampung Paklebang mempunyai stor simpanan sejuk yang menyimpan stok minuman botol F&N dan Coca-cola, serta depo minyak Shell untuk bekalan bagi seluruh negeri Kelantan.
“Di sini juga terdapat kilang air batu yang besar untuk membekalkan air batu bagi seluruh negeri Kelantan dan kesemua bangunan tersebut terletak di pinggir sungai Kelantan seiringan dengan stesen kereta api Palekbang,” katanya.
Bagaimanapun, kata Zakaria, stesen kereta api Palekbang terpinggir sekitar tahun 1970-an apabila Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dan dibuka menjadikan jalan darat berkembang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob ketika dihubungi memaklumkan lokasi yang didakwa mempunyai terowong bawah tanah itu masih dalam kajian pihak Kerajaan Negeri.
“Tidak ada apa yang luar biasa di kawasan berkenaan, ia masih dalam kajian dan pelbagai penemuan kemungkinan akan diketahui nanti.
“Mungkin di bawah tanah tersebut ada tempat simpanan peralatan perang milik tentera Jepun. Sebab itu, Kerajaan Negeri minta bantuan pihak tentera ke lokasi tersebut. Lagi pun di sini pada zaman Jepun adalah penempatan tentera, kemungkinan ada bahan api di bawah sana,” katanya.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan khabar angin berkaitan penemuan terowong tersebut.
Misteri terjawab: 'Itu bukan terowong, tetapi hanya telaga'
Kesan-kesan peninggalan Stesen Keretapi Palekbang masih ada di Palekbang. |
Penduduk, Jali Mustapha menunjukkan telaga sedalam 70 kaki yang diceritakan oleh Wan Jaffar. |
Ini antara telaga yang bersambung ke Sungai Kelantan yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai laluan ke terowong di bawah tanah. |
Di dalam blog, di laman sosial dan di kedai kopi tersebar cerita mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.
Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.
Wan Jaffar berkata, mustahil ada terowong bawah tanah kerana dia adalah salah seorang pekerja yang terlibat mengali telaga di lokasi tersebut sebelum penjajahan Jepun iaitu ketika usianya awal 20an.
Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan bagaimanapun kewujudan kampung ini mula tercatat setelah Inggeris membina landasan kereta api di pertengahan tahun 1920-an.
Menurutnya, pada masa itu bekalan air untuk kegunaan keret api yang berulang-alik memunggah biji besi dari Temangan, Machang- Tumpat tidak mencukupi kerana di Stesen keretapi Tumpat tiada bekalan air kerana masalah air masin.
“Pihak Inggeris kerahkan gali telaga di kawasan Stesen Keretapi Palekbang untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
“Telaga pertama digali sedalam 70 kaki, kerana memerlukan air yang banyak beberapa buah telaga berhampiran sungai digali lagi, kalau tak silap pakcik lima buah telaga kesemuanya,” katanya yang berasal dari Kampung Laut, kini menetap di Kampung Semat Jal.
Wan Jaffar berkata, kesemua telaga ini bersambung kerana di bawah tanah dibuat lubang pada setiap perigi untuk dipasang saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan.
“Air sungai ini boleh masuk ke dalam telaga dan punca air telaga ini disedut dari sungai tersebut.
“Perigi besar yang pertama dipasang pam air dan pam inilah berfungsi menyedut air dari Sungai Kelantan, sehingga ke hari ini perigi itu masih ada di Palekbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal.
Tinjauan Sinar Harian ke Pangkalan Pasir Haji Manaf, Palekbang mendapati kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dan dikawal rapi.
Orang awam semalam melaporkan Kampung Palekbang tiba-tiba menjadi tersohor apabila tersebar cerita penemuan terowong panjang peninggalan Jepun di bawah tanah di laman sosial, di blog dan juga cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu lalu.
Kewujudannya terus menjadi teka teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi yang kini dalam kajian pembangunan eko sejarah seliaan Kerajaan Negeri yang sedang giat dilaksanakan di lokasi tersebut.
Beberapa hari lalu kelihatan pihak polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.
Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih terus menjadi persoalan sehingga kini.
Sementara itu, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tidak menolak wujudnya terowong di Kampung Palekbang sebagaimana didakwa pihak tertentu sebelum ini.
Pengarahnya, Abdul Rahman Abdullah berkata, bagaimanapun statusnya masih dalam siasatan Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan yang dipengerusikan, Datuk Husam Musa.
“Setakat ini ia masih di peringkat cari gali. Perbadanan Muzium Negeri sendiri belum menerima maklumat secara rasmi, walaupun saya sudah beberapa kali meninjau lokasi tersebut setelah mendapat arahan pihak atasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Abdul Rahman yang berasal dari kawasan tersebut turut menjelaskan daripada maklumat awal dan apa yang diketahui sebagai penduduk di kawasan tersebut, kewujudan kawasan yang didakwa mempunyai terowong itu sebenarnya adalah telaga untuk mengisi air bagi kegunaan keretapi.
“Sebab suatu ketika dahulu kereta api menggunakan tenaga wap yang terhasil daripada air untuk bergerak, dan selepas minyak digunakan ia ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
Jepun tak pernah bina terowong
Pasir Puteh - Pencinta sejarah di sini menganggap cerita mengenai kewujudan terowong bawah tanah yang dikatakan dibina tentera Jepun di Palekbang, Tumpat adalah tidak benar.
Pasir Puteh - Pencinta sejarah di sini menganggap cerita mengenai kewujudan terowong bawah tanah yang dikatakan dibina tentera Jepun di Palekbang, Tumpat adalah tidak benar.
Siri Neng Buah, 58, berkata, tentera Jepun tidak pernah membina terowong di Kelantan kerana mereka hanya menduduki negeri ini setahun lebih sahaja.
Katanya, Jepun hanya membina parit pada jarak kira-kira 300 meter di hadapan kubu Inggeris di Pantai Kuala Pak Amat.
“Jepun di pihak menang tidak memerlukan terowong, lagipun mereka tidak lama di Kelantan kerana selepas itu menyerahkan negeri ini kepada Siam kerana Siam membenarkan tentera Jepun menyusup masuk ke Kelantan melalui negara mereka.
“Saya tidak percaya terowong yang dimaksudkan boleh tembus ke lapangan terbang milik Inggeris di Lalang Luas di Machang yang kemudiannya dikuasai Jepun,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau bersetuju dengan pendapat penduduk, Zakaria Abdul Kadir, 74, yang mengatakan di situ terdapat simpanan sejuk dan kilang air batu besar untuk membekalkannya ke seluruh Kelantan.
Katanya, Palekbang merupakan pekan atau pusat perdagangan tersohor pada masa dahulu tetapi kegemilangan itu sudah lama dilupakan rakyat Kelantan.
“Saya boleh bersetuju sekiranya ada yang mengatakan terdapat terowong atau kemudahan istimewa lain di Kota Kubang Labu kerana itulah ibu negeri Kelantan Barat, pusat pentadbiran termasuk istana yang megah.
“Kelantan Barat dan Kelantan Timur dipisahkan dengan Sungai Kelantan sebelum sempadan baru Sungai Golok memisahkan Kelantan dan Siam,” katanya.
Katanya, dia lebih senang sekiranya penduduk tempatan atau pencinta sejarah mengkaji kewujudan ‘Sungai Gali’ yang mana kesannya masih boleh dilihat di Pasir Pekan yang digali pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV.
“Ianya dibina bagi mengurangkan terjahan air di tebing sungai di bandar Kota Bharu pada musim tengkujuh, sungai buatan sehingga ke Kampung Laut itu juga menjadi laluan penting pengangkutan air pada masa itu,” katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan penduduk, Wan Jaafar Abdullah, 92, juga berpendapat lubang yang ditemui bukan terowong tetapi telaga yang mana bahagian bawahnya terdapat saluran air tembus ke Sungai Kelantan.
Katanya, bekalan air telaga itu mempunyai kaitan dengan pembinaan jalan kereta api yang berulang-alik memunggah biji besi dari Temangan, Machang ke Tumpat.
0 Comments