MAYAT seorang lelaki yang sudah tinggal rangka dengan topi keledar masih lagi di kepala ditemukan di dalam longkang di tengah-tengah Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini |
Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang telah reput dengan topi keledar masih lagi di kepala, ditemui dalam longkang di tengah-tengah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini semalam.
Mayat lelaki yang hanya tinggal rangka itu ditemui orang awam di Kilometer 281.8 laluan arah utara pada jam 12 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berasal dari Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka.
Katanya, mayat ditemui terlentang dalam longkang selebar 0.6 meter serta dengan tahap kedalaman kira-kira 0.76 meter, masih lengkap berpakaian baju T dan seluar panjang warna hitam selain masih memakai topi keledar.
"Pemeriksaan ke atas beg pinggang berwarna hitam yang ditemui pada satu bahagian beg galas, menjumpai satu kad pengenalan dan lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150, dipercayai milik si mati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil siasatan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata atau kenderaan yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit.
"Punca kematian belum dapat dipastikan dan mayat sudah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) untuk bedah siasat," katanya sambil menambah, kejadian dipercayai tiada unsur jenayah dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Beliau menjelaskan, keluarga mangsa telah dihubungi dan memaklumkan, kali terakhir mereka melihat si mati adalah pada 23 Feb lalu ketika dia keluar dari rumah menaiki motosikal untuk berjumpa kawan di Kuala Lumpur.
"Keluarga si mati juga ada membuat laporan polis mengenai kehilangannya," katanya.
Artikel selanjutnya:
0 Comments