'Tidak Wajar Buka Aib Bapa' - Menteri Hal Ehwal Agama

'Tidak Wajar Buka Aib Bapa' - Menteri Hal Ehwal Agama

 

Idris ketika di konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia

Bangi: Pelakon berusia 15 tahun yang baru-baru ini mendedahkan sikap buruk bapanya dalam satu program broadcast di YouTube sewajarnya menutup aib sendiri dan tidak mendedahkan perkara itu pada orang ramai.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, remaja itu sewajarnya membuat laporan polis bagi membolehkan dirinya mendapat pembelaan undang-undang dan dilindungi dari sebarang ancaman kepada diri pada masa akan datang.


"Sepatutnya kita dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya gangguan seperti itu tak perlu didedahkan pada orang ramai.


"Dia sepatutnya lapor kepada polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022 di sini, hari ini.


Idris menjawab dakwaan pelakon berkenaan baru-baru ini, yang mendedahkan sikap buruk bapanya termasuk memperlakukan ibunya dengan teruk.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dalam reaksi semalam juga bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.


Dalam pada itu, menyentuh isu seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki, Idris berkata, pihaknya dimaklumkan wanita berkenaan sudah pun pulang.


"Kita belum dapat temui dia. Cuma kita dapat tahu dia sudah balik. Kalau kita tahu (lokasinya) di mana, kita akan arahkan segera pihak berkuasa negeri (panggil dan siasat)," katanya.


Baru-baru ini, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.


Dalam satu hantaran video menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter yang berkongsi perbuatan terbabit mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.


Difahamkan wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

Post a Comment

0 Comments