Kuala Lumpur: "Tengah fikir bolehkah saya bertanding di Raub atau Bentong, Pahang sebagai Ahli Parlimen sana. Ada yang sokong tak? Bukan apa, Raub selalu tidak ada air. Jam 11 malam saja air tak ada, nak 'memerut' pun susah. Nak kena tadah air. Jadi, kita ni selalu buat aduan juga, tapi susah nak jawab. Isu air orang Raub ni harus diatasi secepat yang mungkin. Kalau tak saya masuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)."
Itu hantaran dimuat naik pelakon Datuk Fizz Fairuz yang mana sekiranya bertanding pada PRU-15 akan datang dia mahu menyelesaikan masalah air di dua daerah itu.
Malah, perkongsian itu disambut baik oleh kebanyakan pengikutnya di Instagram yang berasal dari kawasan itu.
Fizz, 43, atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin berkata, hantaran dimuat naik bagi menyatakan rasa kecewa apabila isu masalah air masih belum selesai biarpun sering bertukar kerajaan.
"Kalau diberi kesempatan nak juga masuk bertanding, orang lain pun masuk bertanding juga tapi dapat selesaikan masalah? Maksudnya begitulah. Hantaran saya itu kerana bila kita dah bertukar-tukar kerajaan ini tapi hasil masih sama saja lagi. Kalau baca di ruangan komen, ada yang anaknya sekolah dari 2017 lagi sampai sekarang masalah air di Raub ini masih macam tu juga, tiada perubahan. Jadi, kita mahukan perubahan.
"Siapa pun yang akan mentadbir selepas ini, air di Raub itu perlu diselesaikan. Rasanya dah lama sangat masalah ini. Kalau ada badan atau pihak yang memerlukan bantuan atau sokongan, saya boleh berikan, tiada masalah. Tolonglah, masalah air ini sudah lama sejak 2007 sampai sekarang tiada perubahan, malam saja tak ada air. Perkara sebegitu perlulah diselesaikan takkanlah nak pakai alasan sama setiap tahun," katanya.
Menurut Fizz, dia sedia membantu untuk meringankan beban rakyat.
"Kalau boleh selesaikan masalah yang membabitkan perkara harian. Perkara ini yang saya nak suarakan. Berkenaan bertanding ataupun tidak itu soal nombor dua kerana masalah rakyat perlu disegerakan. Saya bersuara bagi pihak kampung saya sendiri.
"Kalau saya berkesempatan menjadi Ahli Parlimen atau Adun, perkara sebegini yang perlu diselesaikan. Saya sebenarnya nak ketengahkan perkara ini sudah lama tapi malas nak bersuara sangat. Tapi bila membabitkan isu air yang dah lama ini jadi saya macam terdetik untuk keluar lagi pun kita dah nak mula PRU. Rasanya dah banyak kali PRU pun masalah sama tetap ada setiap kali bertukar kerajaan," katanya.
0 Comments