"Kenapa Sebab Tak Ramai Pengikut?" - Jalil Hamid terasa hina diberi tawaran RM150 satu episod

"Kenapa Sebab Tak Ramai Pengikut?" - Jalil Hamid terasa hina diberi tawaran RM150 satu episod

 


Pelakon veteran, Jalil Hamid meluahkan pendapatnya mengenai ‘diskriminasi’ soal bayaran diterima oleh seseorang anak seni yang seolah-olah tidak setimpal walaupun sudah lama berada di dalam industri.

Menerusi temu bual bersama Harian Metro, pelakon berusia 64 tahun itu mengakui isu bayaran rendah berlaku dalam kalangan pelakon selain menyifatkan ia adalah perkara yang tidak adil.

“Kenapa gaji pelakon tua lagi rendah daripada gaji pelakon muda? Agaknya, kerana dia (pelakon muda) popular atau banyak pengikut?.

“Perkara ini adalah satu perkara paling tak adil, yang menyebabkan pelakon-pelakon tua rasa terpinggir. Apa dosa mereka? Dia (pelakon senior) dah tua, diberikan bakat oleh Allah juga.

“Orang tua pun perlu makan dan minum juga. Bidang lakonan ini tak ada ‘pencen’. Tak ada had umur,” katanya yang tampil dengan drama terbaharu berjudul Ayahanda.


Malah, penyanyi lagu Ayam itu pernah terasa hati apabila beberapa produksi tergamak meletakkan harga terlalu rendah ketika menawarkan projek baharu.

“Banyak kali saya keluarkan kenyataan begini, namun komen daripada masyarakat adalah mereka fikir saya nak cari populariti, supaya orang ingat.

“Saya pernah ditawarkan kerja dengan bayaran RM150 untuk satu episod. Ia masih terngiang-ngiang dalam telinga saya sampai sekarang.

“Saya ke set penggambaran pada hari pertama, namun saya tak dapat teruskan kerja kerana saya rasa ini adalah satu penghinaan kepada saya,” ujarnya.


Drama bersiri Ayahanda itu mula ditayangkan di slot Lestary TV3 semalam yang turut menampilkan Ogy Ahmad Daud, Fikry Ibrahim dan ramai lagi.

Post a Comment

0 Comments