Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.
Memetik Kosmo, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.
Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan fi dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Peguam tertuduh bagaimana memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.
0 Comments